MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO Luqman Hakim Zubir
MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO Luqman Hakim Zubir
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Keputusan MCA untuk tidak turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan dilihat memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan menambahkan lagi keretakan hubungan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRK nanti.

"(Hubungan) dia sudah retak, kita akan pecahkan lagi menjadi belah. Itu kerja politik," katanya ketika ditemui pemberita di ibu negara hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan MIC tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu.

MCA turut dilaporkan menyatakan perkara sama untuk tidak berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu sekiranya calon Barisan Nasional (BN) tidak diletakkan bertanding di situ.

Bagaimanapun, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya menafikan dakwaan MIC tidak akan turun berkempen dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menyatakan pihaknya akan menerima keputusan PN untuk mencalonkan mana-mana pihak bertanding mewakili gabungan itu dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

Menurutnya, cadangannya yang mahukan calon Melayu mewakili PN sebelum ini pandangan peribadi dan akan mengikut keputusan mesyuarat parti itu.

"Bila bawa ke mesyuarat dan diputus macam itu, kita akan ikut keputusan mesyuarat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden selepas mesyuarat PN malam ini berkata, calon yang akan bertanding dalam PRK Kuala Kubu Baharu nanti telah disepakati oleh semua pihak.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, kenyataan Muhammad Sanusi yang mahukan calon daripada Melayu adalah cadangannya seorang.

"(Cadangan) Datuk Seri Muhammad Sanusi seorang sahaja, tapi yang buat keputusan mesyuarat," katanya.

Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), SP Punithan pula memaklumkan parti yang diketuai olehnya kini diterima sebagai anggota penuh PN.

Beliau juga merakamkan penghargaannya kepada PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menerima partinya sebagai anggota.

"Suara dan agenda pembangunan holistik masyarakat India akan diterajui, dipimpin dan diberikan keutamaan oleh MIPP untuk memastikan kaum India tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

"MIPP juga komited dalam merangka agenda dan naratif pembangunan ekonomi yang holistik untuk masyarakat India," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 9:53 PM