NIK Nazmi (tengah) pada program plogging sempena Hari Bumi 2024 bertemakan ‘Planet vs Plastik’ anjuran Kedutaan Sweden di Malaysia dengan DBKL  dan Bernama di Kebun Bandar Sungai Bunus. FOTO Bernama
NIK Nazmi (tengah) pada program plogging sempena Hari Bumi 2024 bertemakan ‘Planet vs Plastik’ anjuran Kedutaan Sweden di Malaysia dengan DBKL dan Bernama di Kebun Bandar Sungai Bunus. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Aktiviti plogging iaitu beriadah sambil mengutip sampah yang lazimnya dilaksanakan di Sweden, dilihat mampu memberikan impak positif terhadap kelestarian alam sekitar di negara ini jika ia dilaksanakan secara meluas.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata aktivitu itu juga, mampu memupuk semangat kekitaan dan penghayatan terhadap aspek penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

"Kita tahu sekarang bahawa ada permintaan tinggi untuk aktiviti fizikal dan riadah. Sekarang kita lihat di sekitar taman-taman, hutan-hutan bandar ataupun urban forest dan sebagainya, memang banyak aktiviti riadah dijalankan.

"Malah, kita juga tahu ada beberapa tempat yang kita masih lagi berdepan dengan masalah sampah dan kebersihan. Jadi, kalau kita gabungkan kedua-dua aktiviti itu (beriadah sambil kutip sampah) bagi saya ia akan memberi impak lebih positif kepada alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program plogging sempena Hari Bumi 2024, bertemakan 'Planet vs Plastic' anjuran Kedutaan Sweden di Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), di Kebun Bandar Sungai Bunus di sini, hari ini.

Turut hadir Duta Besar Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Nasriah Darus.

NIK Nazmi (tengah) bergambar pada program plogging sempena Hari Bumi 2024 bertemakan ‘Planet vs Plastik’ anjuran Kedutaan Sweden di Malaysia dengan DBKL dan Bernama di Kebun Bandar Sungai Bunus. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus (empat, kiri) dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz (tiga, kiri). FOTO Bernama

Selain itu, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata pihaknya juga sentiasa mencari ruang dan platform, bagi melaksanakan jalinan kerjasama dalam menggerakkan program-program kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan merupakan antara rakan kongsi yang banyak dilibatkan dalam program alam sekitar, bagi memastikan elemen kelestarian alam boleh diterapkan dalam kalangan pelajar menerusi pelaksanaan aktiviti di sekolah.

"Kita pun tahu kesedaran dalam kalangan anak muda sangat tinggi dalam isu alam sekitar, jadi kalau boleh kita mahu kembangkan dan terapkan lagi. Kita mahu kesedaran itu ada di seluruh negara, bukan di tempat-tempat tertentu sahaja," katanya.

Terdahulu, Nik Nazmi menyertai aktiviti plogging bersama-sama pelajar-pelajar sekolah, warga kerja Bernama, pegawai-pegawai kedutaan dan kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 3:42 PM