PERSATUAN Belia Seri Cempaka melakukan kerja di Kebun Kejiranan Bandar Sungai Bunus sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia. FOTO Bernama
PERSATUAN Belia Seri Cempaka melakukan kerja di Kebun Kejiranan Bandar Sungai Bunus sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Melangkah masuk ke Kebun Kejiranan Sungai Bunus di sini, sesiapa sahaja akan terpegun dengan deretan pelbagai tanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan herba yang tumbuh segar, di celah kesesakan di pinggir ibu kota.

Kebun bandar yang merupakan inisiatif kerjasama beberapa pihak termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ini secara tidak langsung memudah dan mendekatkan warga kota dengan persekitaran 'hijau' melalui aktiviti berkebun.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain berkata, kebun bandar seluas 1,114 meter persegi yang diusahakan sejak 2018 itu bukan sahaja memberi ruang untuk warga kota beriadah malah bertujuan mengindahkan pinggir Sungai Bunus yang terletak kurang 200 meter dari Wisma Bernama.

"Di sini, tiada kawasan perumahan, yang ada bangunan pejabat dan insititusi yang memberi peluang kepada pekerja-pekerja untuk berkebun, kalau dah balik rumah mungkin tak sempat kerana sampai lewat petang atau malam.

"Dekat sini juga kita juga boleh beriadah, dan menariknya kita tidak jauh dari Taman Tasik Titiwangsa yang mempunyai laluan untuk kita berjoging atau berkelah selepas bercucuk tanam. Begitu juga kepada sesiapa yang baru nak belajar teknik menanam kerana di sini juga ada orang yang boleh ajarkan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mokhtar berkata, bagi memudahkan pengunjung, Bernama turut mengambil inisiatif membangunkan laman sesawang Kebun Kejiranan Sungai Bunus yang mengandungi maklumat mengenai senarai tanaman dan pemegang taruh di setiap plot yang terlibat selain khasiat tanaman.

"Apa yang perlu dibuat ialah hanya mengimbas kod yang tertera, dan pengunjung akan mendapat pelbagai maklumat mengenai projek kebun ini termasuk aktiviti yang telah dilakukan di kawasan berkenaan," katanya.

Terdahulu Mokhtar menghadiri program 'plogging' di sekitar Kolam Takungan Banjir Sungai Bunus bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah yang turut melawat kebun itu.

Selain Bernama, Kebun Bandar Kejiranan Sungai Bunus yang mempunyai 10 plot turut melibatkan pemegang taruh lain antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Persatuan Pustakawan Malaysia, Perumahan Awam (PA) Seri Perlis, Yayasan Patriot Negara Malaysia dan Chef Liza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 3:27 PM