Husam Musa (dua kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada Sayed Sanusi Sayed Kadir (lima kiri) yang menjadi penerima pertama RMR 2.0 ketika ditemui Penyerahan Kunci RMR Peringkat Parlimen Machang di Kampung Bagan Bawah, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Husam Musa (dua kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada Sayed Sanusi Sayed Kadir (lima kiri) yang menjadi penerima pertama RMR 2.0 ketika ditemui Penyerahan Kunci RMR Peringkat Parlimen Machang di Kampung Bagan Bawah, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Oleh Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dijangka melaksanakan projek rintis pemasangan bumbung solar bagi pembinaan kediaman di bawah program Rumah Mesra Rakyat (RMR), September ini.

Pengerusi SPNB Datuk Husam Musa berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan tiga syarikat pembekal panel solar pada Disember tahun lalu.

Katanya, SPNB berhasrat mendapatkan syarikat yang boleh membekalkan panel solar berkenaan tanpa memerlukan pemohon RMR mengeluarkan apa-apa bayaran.

"Pemohon RMR tidak perlu mengeluarkan modal, sebaliknya syarikat pembekal panel solar yang akan mengeluarkan modal untuk pemasangan solar ini.

"Bagaimanapun, bagi pemasangan panel solar ini, kita perlu melihat kesesuaian kawasan rumah terutamanya kawasan lapang selain mendapatkan persetujuan pemohon RMR," katanya kepada media selepas Penyerahan Kunci RMR Peringkat Parlimen Machang di Kampung Bagan Bawah, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah SPNB Kelantan Mejar (B) Ismail Hassan.

Terdahulu, Husam menyampaikan replika kunci rumah kepada Sayed Sanusi Sayed Kadir yang menjadi penerima pertama RMR 2.0.

Husam berkata, adalah menjadi hasrat SPNB mengambil isu pemanasan global dalam konteks industri pembinaan.

"Justeru, SPNB sudah melantik pegawai hijau yang turut ditugaskan untuk mengkaji panel solar di bumbung RMR.

"Dengan pemasangan panel solar, ia secara tidak langsung dapat membantu pemilik rumah RMR mengurangkan beban kenaikan tarif elektrik.

"Pada masa sama, kita juga berharap pemohon RMR yang mempunyai kawasan lapang di sekitar rumah mereka supaya menghias rumah dengan landskap kerana ia boleh membantu mengurangkan pemanasan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Husam berkata, sejak RMR 2.0 diperkenalkan pada Februari tahun ini sehingga Mac, SPNB sudah menerima 58 permohonan dan sedang membina 17 unit malah seunit RMR juga sudah siap dibina.

"Sejak RMR diperkenalkan bermula 2002 sehingga Mac 2024, SPNB sudah membina 64,657 unit RMR di seluruh negara dengan jumlah pembinaan tertinggi ialah 10,231 unit iaitu di Kelantan diikuti dengan Terengganu dan Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 12:50 PM