GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Persatuan Penduduk Parkville (RA) mengenakan syarat ke atas ahli yang tidak membayar yuran bagi mengendalikan sendiri boom gate (palang), tanpa bantuan pengawal keselamatan.

Seorang peguam RA Surendra Ananth memberitahu Bernama bahawa rayuan MBPJ telah ditolak oleh panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Beliau berkata mahkamah turut memerintahkan MBPJ membayar kos RM100,000, dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini.

Surendra berkata Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf menggunakan keputusan Mahkamah Persekutuan 2015 dalam kes Au Kean Hoe lwn Persatuan Penduduk D'Villa Equestrian sebagai duluan.

Jelasnya lagi, mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan MBPJ yang tidak membenarkan RA menguatkuasakan syarat supaya ahli yang tidak membayar yuran untuk mengendalikan boom gate sendiri, adalah menyalahi undang-undang.

Bekas Pengerusi Parkville RA Chow Hau Mun memfailkan semakan kehakiman bagi pihak persatuan itu, bertujuan untuk memohon pengisytiharkan bahawa persatuan itu berhak untuk mengenakan syarat kepada penduduk yang tidak membayar yuran atau ahli bukan persatuan untuk mengendalikan boom gate sendiri tanpa bantuan pengawal keselamatan.

Ini selepas MBPJ, pada 30 Mac 2021, menolak permohonan persatuan itu untuk kebenaran mengenakan syarat itu.

Pada Julai 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan kehakiman itu, dengan memutuskan bahawa keputusan MBPJ tidak membenarkan RA mengenakan syarat itu tidak menyalahi undang-undang, tidak rasional atau tidak munasabah.

Pada 17 April lalu, persatuan itu berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman RA untuk membatalkan keputusan MBPJ.

Dalam prosiding hari ini, RA turut diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Yatiswara Ramachandran mewakili MBPJ.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 9:42 PM