Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 di Angsana Johor Bahru Mall. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 di Angsana Johor Bahru Mall. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Johor dijangka menjadi negeri termaju di Malaysia dalam tempoh dua tahun ini susulan pelaksanaan dua zon ekonomi khas di negeri itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim

Perdana Menteri berkata, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Khas Kewangan Forest City seterusnya akan memacu pertumbuhan ekonomi negara menjadi lebih pesat.

"Dua zon ekonomi dan kewangan khas ini akan memacu perkembangan ekonomi negara menjadi lebih pesat.

"Apa sasarannya itu tak penting, namun paling penting adalah kemudahan ini (dua zon ekonomi) akan membantu dan dijangkakan Johor akan lebih pesat daripada beberapa negeri lain dalam tempoh setahun dua ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 bersama Perdana Menteri di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Iskandar Puteri, di sini.

Dalam pada itu, ketika berucap dalam majlis sambutan berkenaan, Anwar berkata kewujudan dua zon khas ekonomi dan kewangan menjadk petanda Johor akan mencatat pertumbuhan yang sangat pesat tidak lama lagi.

"Tahun kebelakangan ini adalah tahun yang hebat buat Johor, bukan sahaja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang juga Agong ke-17 dari negeri ini malah ia diterajui pemimpin muda yang berjaya membangunkan Johor sehingga pembangunan ekonomi antara yang terbaik di Malaysia," katanya.

Pada 11 Januari lalu, Anwar dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahamam (MoU) JS-SEZ di antara Malaysia dengan Singapura.

Memorandum berkenaan ditandatangani Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong.

Idea penubuhan zon itu pertama kali dicetuskan Rafizi selepas pertemuan dengan kerajaan Johor di Iskandar Puteri pada Mei tahun lalu.

Dua bulan selepas itu, kedua-dua negara bersetuju mengorak langkah lebih jauh dengan menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji daya maju penubuhan zon ekonomi khas berkenaan.

Pada September lalu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura itu akan mengambil contoh usaha pembangunan Zon Ekonomi Shenzhen yang berupaya merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM1.93 trilion pada 2021.

Pada 25 Ogos tahun lalu pula, Forest City, projek mega pembangunan bercampur di atas empat pulau buatan di perairan Johor berdekatan pelabuhan Tanjung Pelepas di sini, diumumkan sebagai Zon Khas Kewangan.

Status kawasan pembangunan berkeluasan lebih 2832.79 hektar itu diumumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan bagi meningkatkan pelaburan asing sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi kawasan terbabit.

Menurutnya, zon khas berkenaan diwujudkan berikutan keistimewaan Johor yang berjiran dengan Singapura di samping infrastruktur lengkap yang ada di Forest City.

Perdana Menteri dilaporkan menegaskan, beliau lebih melihat kepentingan untuk negeri ini dan Singapura saling melengkapi, berbanding bersaing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 6:49 PM