Tengku Abdullah  (tengah) bersama penerima pentauliahan peguam syarie selepas Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Pahang di Kuantan, semalam.
Tengku Abdullah (tengah) bersama penerima pentauliahan peguam syarie selepas Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Pahang di Kuantan, semalam.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Kaedah Diyat atau pengampunan daripada keluarga mangsa dipertimbangkan Jemaah Pengampunan Pahang untuk diguna pakai sebagai alternatif buat banduan yang berdepan hukuman mati.

Jika dilaksanakan, Pahang menjadi negeri pertama mempraktikkannya dan cadangan itu dibincangkan pada mesyuarat lembaga jemaah pengampunan.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, Diyat memberi peluang kepada banduan untuk tidak berdepan hukuman mati sebaliknya digantikan dengan hukuman lain yang bersesuaian dan mengikut pendapat keluarga mangsa.

“Pendekatan ini ada dalam undang-undang Islam dan ia bertepatan dengan syariah Islam, kita boleh berbincang semula dengan keluarga mangsa dan perkara ini bergantung juga kepada kes yang dihadapi.

“Sekurang-kurangnya ia adalah alternatif, sama-sama kita fikirkan adakah ia baik (atau sebaliknya), tetapi dari sudut syariat Islam, ia dibenarkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Pahang, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammmad Safian Ismail, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Pengerusi Pertubuhan Peguam Syarie Pahang Mohamad Sazali Abdul Aziz.

Tengku Abdullah bertitah, Diyat tidak hanya tertakluk kepada banduan beragama Islam sebaliknya sesuai untuk dipraktikkan kepada bangsa lain.

Sementara itu, baginda dalam titah ucapan mengingatkan peguam syarie supaya mematuhi peraturan undang-undang Islam dan etika serta amalan sebagai peguam syariah kerana mereka adalah sebahagian komponen perundangan Islam.

“Saya nasihatkan supaya semua berusaha bersungguh-sungguh menjaga nama baik profesion ini, pelihara martabat dan kehormatan perundangan Islam.

“Jalankan tugas dan peranan dengan baik demi menegakkan keadilan supaya rakyat sentiasa terbela dan mendapat hak serta pembelaan sepatutnya,” titah baginda.

Baginda bertitah, sebagai golongan yang arif dengan perundangan Islam, peguam syarie juga seharusnya turun ke peringkat akar umbi bagi memberi penjelasan mengenai sebarang kekeliruan berkaitan undang-undang Islam.

“Peguam syarie juga perlu memainkan peranan memberi input yang sesuai kepada pihak berkenaan yang membolehkan penambahbaikan dapat dilaksanakan seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan untuk kebaikan masyarakat,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 6:05 AM