Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerja pembaikan pembahagi aliran air Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi yang menyebabkan gangguan bekalan air di Port Dickson dan sebahagian di Rantau, dekat sini, belum selesai sepenuhnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama kontraktor sedang berusaha memperbaiki tebing runtuh dan melakukan lencongan air aliran Sungai Linggi sebagai langkah menangani dan mempercepatkan pemulihan bekalan air.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini usaha itu belum dapat diselesaikan 100 peratus dan mungkin mengambil sedikit masa.

"Saya dimaklumkan pihak JPS Negeri Sembilan dan kontraktor sedang bertungkus lumus sepanjang malam bagi melakukan kerja pembaikan itu.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terbabit atas komitmen ditunjukkan.

"Sama-samalah kita mendoakan supaya pembaikan ini dapat diselesaikan dengan selamat dan kadar segera supaya bekalan air kembali pulih seperti biasa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

KEADAAN muka sauk LRA Sungai Linggi yang belum pulih susulan banjir kilat Rabu lalu. FOTO Ihsan SAINS.
KEADAAN muka sauk LRA Sungai Linggi yang belum pulih susulan banjir kilat Rabu lalu. FOTO Ihsan SAINS.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Norzita Ismail berkata, pihaknya akan terus memberikan bantuan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik di kawasan terjejas.

Beliau berkata, Sains mengambil keputusan membeli air dari Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (AiS) untuk membantu penduduk di kawasan Port Dickson.

"Pengambilan air dari Sepang dilakukan dan diharap dapat membantu meringankan beban bagi sebahagian penduduk di kawasan terjejas seperti di Tanah Merah Site A dan Bukit Pelanduk.

"Kami menganggarkan dalam tempoh 48 jam bekalan air beransur pulih dan sampai ke paip agihan pengguna.

"Bagaimanapun, tempoh pemulihan juga bergantung kepada sistem retikulasi yang mana kawasan tinggi akan mengambil masa berbanding kawasan rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 3:10 PM