Nurul Ain (kanan) bersama kedua ibu bapa dan adiknya pada pagi 1 Syawal lalu.
Nurul Ain (kanan) bersama kedua ibu bapa dan adiknya pada pagi 1 Syawal lalu.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, selepas empat tahun tidak pulang beraya, kali ini saya dapat meraikannya bersama keluarga tercinta," kata Nurul Ain Haron, 38, rakyat Malaysia yang sebelum ini terperangkap di Gaza, Palestin.

Pada Aidilfitri tahun ini, dia membuat kejutan apabila pulang ke rumah keluarganya di Keramat di sini, pada 1 Syawal lalu.

Menurutnya, kepulangannya itu memang tidak dijangka sama sekali oleh ibu bapanya.

"Saya memang tidak beritahu keluarga mengenai perancangan ini dan sengaja ingin membuat kejutan kepada mereka. Mereka faham kenapa saya tak balik raya sebelum ini.

"Pada 1 Syawal lalu, pada 10.30 pagi saya sudah terpacak depan rumah. Mereka semua terkejut. Bukan saja mereka yang gembira dan teruja, saya juga sama. Rasa bersyukur sangat.

"Cuma, saya balik seorang diri. Suami tidak dapat ikut bersama atas tuntutan kerja. Sekali lagi keluarga sedikit sedih sebab tak dapat beraya bersama suami," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kesempatan yang ada dimanfaatkan sebaiknya untuk menyambut hari raya bersama keluarga, rakan dan sanak saudara.

Menurutnya, dia dijangka pulang ke Ajman, Emirah Arab Bersatu (UAE) pada 30 April ini selepas pelancaran buku keduanya.

"Insya-Allah, buku kedua saya berjudul Dia Anak Gaza hasil tulisan Niza Khalid akan dilancarkan pada 28 April ini. Jadi, selepas itu baharulah saya pulang semula ke sana.

"Buku ini juga satu bentuk jihad saya bersama penulis yang mana sebahagian hasil pembelian akan disalurkan ke Gaza dan penulis pula tidak membuat sebarang tuntutan royalti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nurul Ain berkongsi dia masih meneruskan bantuan kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan tentera Israel walaupun menetap bersama suami di UAE.

"Buat masa sekarang, saya sedang usahakan untuk hantar bantuan ke Gaza. Seperti semua tahu, situasi sekarang tidak mudah. Di sana pula sentiasa perlukan bantuan. Memandangkan mereka sudah tahu saya buat perkara itu, jadi mereka sangat berharap saya teruskan.

"Jadi, saya masih teruskan bantuan berupa memasak masakan untuk diagihkan kepada penduduk yang berada di kem penempatan di Rafah dan Khan Yunis. Keperluan ini dibantu sepupu suami di sana. Dua kawasan ini yang bantuan tidak masuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 1:58 PM