Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Ketidakupayaan sub kontraktor yang dicalonkan (nominated subcontractor) menyelesaikan kerja-kerja jubin adalah punca kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor siap berbanding tarikh asal.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sub kontraktor yang dicalonkan biasanya terdiri daripada mereka yang pakar dan mempunyai keupayaan.

"Tidak mudah untuk diganti (subkontraktor lain). Proses mencari ganti itu perlu melalui tender dan sebagainya yang mengambil masa.

"Tetapi, kita sudah mendapat jaminan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkara ini dan ia diberi perhatian yang serius. Diharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Projek ini sebenarnya sudah mencapai lebih 98.4 peratus. Hanya sebahagian sahaja (yang bermasalah). Walaupun ini adalah projek Kementerian Pertahanan tetapi ia dikendalikan oleh JKR," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Tapak Perumahan Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Sungai Besi di Galeri Jualan PSV, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak; Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abd Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Mohamed Khaled menegaskan semua projek ada tempoh masa untuk disiapkan dan jika berlaku kelewatan maka kontraktor yang dipertanggungjawabkan bakal dikenakan penalti.

Mengulas mengenai papan tanda projek di tapak pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar yang dirobohkan, beliau memaklumkan beliau tidak mempunyai maklumat mengenai siapa yang melakukannya.

Media semalam melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar memerintahkan supaya pihak bertanggungjawab yang membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing menjelaskan punca kelewatan pembinaan berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, namun sehingga kini ia masih dalam pembinaan.

Hari ini di Johor, Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, yang mengalami kelewatan selepas enam kali diberi pelanjutan tempoh, dijangka siap sepenuhnya pada Jun depan.

Beliau menjelaskan projek itu tertunda sejak 2020 susulan beberapa isu, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

MOHAMAD Khaled melihat replika projek perumahan SASAR Sungai Besi di PSV Sales Gallery, Sungai Besi. FOTO Eizairi Shamsudin
MOHAMAD Khaled melihat replika projek perumahan SASAR Sungai Besi di PSV Sales Gallery, Sungai Besi. FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 6:40 PM