SAARANI Mohamad (empat kiri) menyampaikan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) kepada 30 penerima. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
SAARANI Mohamad (empat kiri) menyampaikan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) kepada 30 penerima. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Sebuah lagi lebuh raya baru dari Tanjung Malim ke Lumut sudah didaftarkan di Kementerian Kewangan untuk dilaksanakan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata,ia antara 10 projek yang disenaraikan untuk perhatian Kementerian Kewangan bagi dilaksanakan di negeri ini ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perak baru-baru ini.

"Cadangan lebuh raya itu dibuat sebagai perancangan jangka masa panjang apabila Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) beroperasi untuk memudahkan pengangkutan logistik ke Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

"Pertama kita senaraikan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Kerian dan kedua ialah projek lebuh raya Tanjung Malim - Lumut.

"Jadi produk yang dihasilkan di AHTV akan dihantar ke LUMiC untuk eksport dan kini kita sedang perkasakan pelabuhan Lumut itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera di LSS4 Tali Air hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu dijangka bermula bersama-sama pembangunan AHTV di Tanjung Malim dan akan mengambil masa.

Menurutnya setakat ini belum ada perincian membabitkan jajaran dan jarak lebuh raya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 2:26 PM