Handal Indah Sdn Bhd menerima Malaysia Book of Record sebagai pemegang rekod pertama dalam sejarah negara. FOTO Omar Ahmad
Handal Indah Sdn Bhd menerima Malaysia Book of Record sebagai pemegang rekod pertama dalam sejarah negara. FOTO Omar Ahmad
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing yang mengalami kelewatan selepas enam kali diberikan lanjutan tempoh masa akan disiapkan sepenuhnya, Jun ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek berkenaan tertunda sejak 2020 susulan beberapa isu termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kerajaan Johor akan memantau kemajuan projek itu secara lebih dekat bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual dan tiada lagi isu kelewatan berlaku.

"Di peringkat kerajaan negeri, kami menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, memantau dan melihat projek-projek infrastruktur yang membabitkan agensi-agensi supaya dapat dilakukan cepat dan tuntas.

"Dalam kes di Mersing ini, saya dimaklumkan JKR sudah beri lanjutan masa (EOT) sebanyak enam kali sejak 2020. Saya juga sudah berhubung dengan JKR dan mereka menyatakan projek itu dijangka siap sepenuhnya Jun ini.

"Namun, Kerajaan Johor akan pantau secara dekat supaya projek ini tidak akan mengalami kelewatan lagi.

"Saya juga melihat banyak projek-projek yang terpaksa dilanjutkan tempoh, dari segi pengurusan kena ada pemantauan lebih baik supaya kos tidak meningkat dan projek dapat diselesaikan dalam tempoh masa ditetapkan," katanya pada sidang media selepas pelancaran Perkhidmatan Bas Elektrik Rentas Sempadan Pertama antara Malaysia-Singapura Melalui Tambak Johor di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan pihak bertanggungjawab yang membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing menjelaskan punca kelewatan pembinaan berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, namun sehingga kini ia masih dalam pembinaan.

Ditanya mengenai langkah yang akan diambil sekiranya projek itu tidak dapat disiapkan menjelang Jun, Onn Hafiz berkata, JKR perlu mengambil tanggungjawab dan memberi kenyataan penuh, sekiranya perkara itu berlaku.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, tiga daripada enam EOT yang diberikan kepada pihak kontraktor adalah disebabkan tempoh PKP.

Katanya, faktor kelewatan lain menyebabkan tempoh lanjutan terpaksa diberi adalah disebabkan isu teknikal seperti arahan perubahan (VO) yang mengakibatkan pertambahan kos projek.

"Jika melihat kepada kemajuan projek pembinaan itu, ia sebenarnya sudah mencapai tahap 98 peratus, hanya tinggal dua peratus saja lagi untuk disiapkan.

"Kerja yang perlu disiapkan membabitkan kerja pemasangan jubin, kemasan jalan, penyediaan perabot serta pembinaan penghadang dan pintu.

"Daripada kos keseluruhan RM23.7 juta yang diperuntukkan, sebanyak RM22.2 juta dibayar kepada kontraktor bagi menyiapkan projek itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 2:10 PM