Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Tiga remaja lelaki maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 9.9, Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku 12.30 tengah malam tadi membabitkan sekumpulan penunggang motosikal dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu secara berkumpulan.

"Sebaik sampai di lokasi, dua motosikal yang berada di hadapan berlanggar sesama sendiri dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal yang mula-mula terjatuh dan berada di atas jalan.

"Keadaan itu menyebabkan berlaku perlanggaran oleh empat motosikal yang berada di belakang serta membabitkan beberapa kenderaan lagi.

"Kemalangan itu menyebabkan tiga mangsa berusia 19 hingga 21 tahun meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, tiga lagi penunggang motosikal parah dan masih menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

KEMALANGAN maut di KM 9.9 Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu. FOTO ihsan pembaca
KEMALANGAN maut di KM 9.9 Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu. FOTO ihsan pembaca

Menurutnya lagi, kejadian berlaku dipercayai sikap penunggangan motosikal dalam kelajuan tinggi sehingga menyebabkan penunggang tidak dapat bertindak awal selain kesukaran melihat dalam suasana yang gelap.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kami meminta orang ramai yang melihat kejadian ini untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

"Saksi juga boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Nurul Izzati Mohammad Rosli di talian 09-7752315 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 2:08 PM