GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah untuk menyediakan laporan terperinci berhubung insiden seorang buruh warga Indonesia maut ditimbus tanah di tapak projek pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) di Kampung Berembang, Kuala Lipis, Pahang, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, siasatan juga dilaksanakan bagi menentukan sama ada semua perkara terutama membabitkan prosedur operasi standard (SOP) dan aspek keselamatan dipatuhi di tapak projek pembinaan terbabit.

"Siasatan lanjut juga sedang dijalankan beberapa pihak untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Beliau turut menzahirkan simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.

Dalam kejadian 11.15 pagi tadi, Khairul Anam, 28 maut selepas ditimbus tanah menggelongsor ketika mengukur kedalaman longkang yang baru digali dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Mangsa berasal dari Jawa Timur difahamkan baru lima bulan bekerja dengan syarikat subkontraktor bagi kerja pembinaan laluan CSR itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 11:29 PM