Bank Negara Malaysia, gambar fail. FOTO Bloomberg
Bank Negara Malaysia, gambar fail. FOTO Bloomberg
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) meminta dua bank yang mengalami gangguan perkhidmatan baru-baru ini untuk memberikan penjelasan tentang punca yang menyebabkan insiden gangguan.

Bank pusat dalam kenyataan malam ini berkata, kedua-dua bank juga perlu memberikan langkah-langkah pembetulan dan pencegahan yang dilaksanakan bagi mengelakkan isu yang sama berulang.

Menurutnya, BNM memandang serius gangguan perkhidmatan perbankan oleh dua institusi perbankan terbesar negara baru-baru ini yang mengakibatkan kesulitan pada pelanggan.

"Perkhidmatan perbankan kedua-dua bank ini telah kembali pulih.

"Bank-bank ini juga telah diarahkan untuk berkomunikasi dengan pelanggan yang terjejas termasuk menjawab segera sebarang aduan dan pertanyaan yang disebabkan oleh gangguan tersebut serta memberikan maklumat terkini mengenai perkhidmatan yang terjejas," katanya.

Bank pusat berkata, ia menghendaki semua institusi perbankan untuk memastikan tahap ketersediaan perkhidmatan perbankan yang kukuh pada setiap masa.

"BNM akan mempertimbangkan tindakan penyeliaan atas bank-bank yang tidak memenuhi kehendak pengawalan dan penyeliaan BNM," katanya.

Pada 4.14 petang semalam, CIMB Group Holdings Bhd menerusi hantaran dalam akaun X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) berkata bank itu mengalami gangguan perkhidmatan berkala membabitkan CIMB Clicks, CIMB OCTO, FPX, MyDebit, Terminal Kredit dan Layan Diri.

Pada 7.10 malam hari yang sama, bank itu mengumumkan semua perkhidmatannya telah pulih.

Sementara itu, Malayan Banking Bhd (Maybank) dalam akaun Xnya hari ini memaklumkan ia mengalami gangguan yang menjejaskan perkhidmatan kad debit, perbankan dalam talian dan ATM sekitar 9.20 malam 5 April.

Maybank berkata perkhidmatan yang terjejas itu kembali beroperasi seperti biasa secara berperingkat dan pulih sepenuhnya pada 11.34 malam hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 10:57 PM