NORIZAN Hamid (kanan) sebelum ini menyambut Aidilfitri bersama banduan akhir di Penjara Wanita Kajang. FOTO Mohd Rafi Mamat
NORIZAN Hamid (kanan) sebelum ini menyambut Aidilfitri bersama banduan akhir di Penjara Wanita Kajang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Bentong: "Saya pernah menyambut 1 Syawal bersama arwah (Mona Fendy) dalam bilik tahanan banduan akhir di Penjara Wanita Kajang, kami menyambut Aidilfitri dalam suasana ceria dan masa terluang kami bersembang pelbagai perkara.

"Untuk menghilangkan rasa bosan arwah (Mona) akan menyanyi beberapa lagu kegemarannya selain turut membaca al-Quran siang dan malam, suaranya memang bertaraf penghibur," kata pegawai penjara, Norizan Hamid, 52.

Menurutnya, menyambut Aidilfitri bersama banduan akhir di Penjara Wanita Kajang, Selangor antara kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai warden Jabatan Penjara Malaysia.

Dia yang kini bertugas di Bengkel Pastry Penjara Bentong berkata, sepanjang perkhidmatan sebanyak 15 kali dia terpaksa beraya dengan banduan dalam beberapa penjara kerana bertugas.

Katanya, selama sembilan tahun bertugas di Penjara Wanita Kajang dia pernah ditugaskan untuk menjaga banduan akhir termasuklah pernah menyelia Mona atau nama sebenarnya, Maznah Ismail.

"Bertugas menjaga banduan akhir berbeza dengan banduan lain, banduan akhir perlu dilayan dengan sebaik mungkin. Dan paling utama lauk ayam dan ikan yang disediakan tanpa tulang untuk keselamatan," katanya.

Norizan berkata, banyak kenangan menyedihkan dan memilukan dilalui terutama apabila dapat berbual dengan mereka yang menunggu hukuman gantung sampai mati.

Katanya, bertugas pada Aidilfitri memerlukan kekuatan semangat terutama ketika mendengar takbir raya yang berkumandang dalam penjara, selepas selesai takbir suasana kembali normal dengan menjalankan tugas harian seperti biasa.

Menurutnya, sepanjang sembilan tahun di Penjara Wanita Kajang memberinya banyak pengajaran berguna untuk menjadikan dia lebih matang dan cekap menjalankan tugas sebagai kakitangan penjara.

"Di penjara dia berhadapan dengan banduan yang terbabit dengan pelbagai kesalahan seperti bunuh, merompak, mengedar dadah, menagih dadah dan mencuri.

"Boleh dikatakan Penjara Wanita Kajang menjadi universiti buat warden wanita, pengalaman bertugas di penjara berkenaan dapat melahirkan kakitangan yang berkemahiran dan mampu bertugas dengan cemerlang.

"Demi tugas yang diamanahkan saya tidak kisah apabila bertugas pada 1 Syawal, semua persiapan juadah raya perlu disediakan lebih awal.

"Suami yang juga kakitangan penjara serta anak menerima kenyataan apabila saya tidak dapat beraya bersama mereka.

"Pada Aidilfitri tahun inui juga saya terpaksa bertugas, perasaan sayu tetap ada. Hanya banduan sahaja menjadi rakan di pagi Syawal," katanya yang memasuki tahun kedua bertugas di Penjara Bentong.

Bagi Siti Noratirah Biami, 25, yang tahun pertama bertugas sebagai kakitangan penjara, berkata, dia terpaksa bertugas di bahagian pejabat sebagai operator telefon.

"Menjadi pengalaman pertama saya bertugas pada 1 Syawal tahun ini, saya perlu kuatkan semangat demi memikul tugas dan amanah diberikan, menjadi antara pengorbanan sebagai anggota beruniform," katanya yang berasal dari Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 12:54 PM