SAIFUDDIN Nasution pada sidang media di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil. FOTO Hazreen Mohamad
SAIFUDDIN Nasution pada sidang media di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Human Rights Watch (HRW) belum 'muncul' meskipun beliau sudah menyatakan bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Beliau berkata, sehingga kini pihak terbabit tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai pelawaan menghadiri pertemuan itu.

Menurutnya, tindakan HRW membuat laporan satu pihak adalah tidak bertanggungjawab sedangkan kerajaan menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa menjaga kebajikan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditempatkan di depoh tahanan.

"Terdapat warga asing antaranya dari Amerika Syarikat (AS) dan Filipina yang agak lama berada di negara ini kerana tidak boleh dihantar ke negara asal mereka disebabkan negara itu tak nak mengaku rakyat mereka.

"Ada antara mereka berada di sini lebih tiga tahun sehingga sembilan tahun. Sebagai contoh bila ditanya dia kata warga AS, tapi bila disemak dengan kedutaan AS tak mengaku.

"Kita masih beri masa kepada kedutan AS dan Filipina untuk buat profil dan bersedia beri kerjasama sebab tempoh mereka ada di sini agak lama. Walaupun identiti mereka tidak diakui, kita masih menjaga mereka menggunakan duit pembayar cukai kita.

"Tiba-tiba HRW lapor kita berlaku kejam pula. Kalau betul nak (menjaga) hak asasi manusia, maka bantu kita uruskan mereka ini dengan lebih baik. Hal ini sepatutnya HRW mitigasi dan bantu kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Warga JIM di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil di sini, malam ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Laporan HRW yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa tahanan dalam depoh Imigresen diberikan layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka.

Laporan berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depoh imigresen turut mendakwa, kanak-kanak sering menghadapi penderaan yang sama seperti tahanan dewasa termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan membelanjakan RM122,645,458.48 untuk kos penghantaran pulang, pengurusan perbelanjaan utiliti, makan minum dan barangan keperluan asas pati di depoh tahanan JIM seluruh negara.

Katanya, kerajaan juga menyediakan peruntukan ratusan juta ringgit untuk menaik taraf depoh tahanan di Lenggeng, Negeri Sembilan; Pekan Nanas, Johor; Bekenu, Sarawak; Sandakan dan Tawau di Sabah.

Tambahnya, projek menaik taraf itu membabitkan pagar keselamatan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), penggera keselamatan bagi tujuan kawalan pemantauan.

"Sebab itu saya menempelak laporan sebelah pihak termasuk HRW yang sepatutnya cermat dan berlaku adil kepada kerajaan serta JIM yang mengendalikan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 8:52 PM