PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP mengeluarkan kompaun ke atas peniaga yang tidak mematuhi SHMMP di Sabah. FOTO ihsan KPDNHEP
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP mengeluarkan kompaun ke atas peniaga yang tidak mematuhi SHMMP di Sabah. FOTO ihsan KPDNHEP
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seramai 15 peniaga dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didapati gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Semua kompaun berkenaan dikeluarkan sepanjang operasi pematuhan yang diadakan sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan sejak 21 April lalu hingga semalam.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, pihaknya menjalankan sebanyak 2,623 pemeriksaan di seluruh Sabah sepanjang operasi itu.

Menurutnya, 15 kesalahan yang dikesan membabitkan tiga kes menjual barang kawalan melebihi harga ditetapkan, empat kes peniaga gagal menggunakan tanda harga khas (merah jambu) dan lapan kesalahan tidak meletakkan tanda harga.

"Sepanjang operasi, KPDNHEP turut merampas pelbagai barangan bernilai RM592.20, manakala jumlah kompaun yang dikutip adalah sebanyak RM1,950.

"Semua tindakan kes terbabit diambil mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Georgie berkata, operasi itu diadakan sebagai langkah untuk mengawal kenaikan harga barangan keperluan pada Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri.

Menurutnya, operasi SHMMP itu dilaksanakan secara dua fasa iaitu empat kategori barangan antaranya ayam, telur ayam, daging dan hasil laut serta 10 jenis barang kawalan untuk fasa pertama.

"Bagi fasa kedua pula yang akan diadakan selama 15 hari bermula 6 Mei sehingga 20 Mei ini membabitkan 15 lagi jenis barangan.

"Dengan penambahan ini, jumlah keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMMP kali ini membabitkan 25 barangan," katanya.

Georgie berkata, SHMMP bertujuan untuk menstabilkan harga barang yang kritikal yang menjadi menu utama bagi sesuatu perayaan untuk membolehkan seramai mungkin rakyat merayakan setiap perayaan dalam suasana tenang, ceria dan harmoni.

Katanya, seramai 200 pegawai penguat kuasa dan 87 orang pegawai pemantau harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sabah akan sentiasa memantau situasi bekalan barangan agar ia mencukupi, selain memastikan peniaga-peniaga mematuhi SHMMP ini.

"Tugas-tugas pemantauan dan pemeriksaan dijalankan pada setiap hari termasuklah pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum.

"KPDNHEP Sabah ingin mengingatkan semua peniaga supaya mematuhi sepenuhnya SHMMP ini dan kita tidak akan berkompromi ke atas peniaga yang gagal mematuhinya.

"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan ke sembilan saluran aduan pengguna yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 3:02 PM