DUA lelaki kulit hitam yang ditahan polis di Starbucks cawangan Philadelphia, minggu lalu. FOTO Twitter/Melissa DePino
DUA lelaki kulit hitam yang ditahan polis di Starbucks cawangan Philadelphia, minggu lalu. FOTO Twitter/Melissa DePino
Reuters

Los Angeles: Starbucks Corp (Starbucks) akan menutup semua 8,000 kafe miliknya di Amerika Syarikat pada 29 Mei depan, bagi membolehkan 175,000 pekerjanya menjalani latihan toleransi susulan bantahan dan ancaman boikot orang ramai, berikutan penahanan dua lelaki berkulit hitam ketika berada dalam cawangannya di Philadelphia.

Menurut syarikat itu dalam kenyataan, latihan yang sama juga akan disediakan kepada bukan kakitangan syarikat di 6,000 kafe pemegang lesen Starbucks yang beroperasi di beberapa lapangan terbang dan kedai runcit.

Pengumuman oleh syarikat minuman berasaskan kopi terbesar dunia itu dibuat bagi meredakan ketegangan selepas kejadian di Philadelphia minggu lalu, mendakwa Starbucks mengamalkan perkauman, mendorong kempen boikot di media sosial.

Kontroversi itu dianggap besar kepada Ketua Eksekutif Starbucks, Kevin Johnson, yang bertungkus-lumus meningkatkan jumlah pelanggan berikutan saingan kafe hipster dan rangkaian makanan segera serta kedai serbaneka.

“Walaupun masalah ini bukan hanya berlaku kepada Starbucks, kami komited menjadi sebahagian penyelesaian kepada perkara itu,” kata Johnson yang memegang jawatan terbabit sejak setahun lalu.

Penutupan kira-kira 8,000 kafe Starbucks itu dijangka mempengaruhi jualan syarikat terbabit, walaupun ancaman boikot berkenaan masih belum berlaku.

Difahamkan, penutupan itu selama beberapa jam pada waktu tengah hari, ketika jumlah pelanggan rendah.

Terdahulu, Johnson memohon maaf terhadap kejadian dua lelaki ditahan polis di cawangan Philadelphia, minggu lalu.

Kejadian berlaku selepas pengurus wanita cawangan Starbucks berkenaan melaporkan ‘dua lelaki berada dalam kafe itu tetapi enggan membuat pembelian atau meninggalkan kedai’.

Pengurus kafe di Philadelphia yang dikatakan membuat panggilan kepada polis, dilaporkan tidak lagi bekerja dengan Starbucks.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:53 AM