Saipolyazan M Yusop ketika menyampaikan juadah berbuka puasa di Balai Berita, Bangsar. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Saipolyazan M Yusop ketika menyampaikan juadah berbuka puasa di Balai Berita, Bangsar. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerja perobohan Stadium Shah Alam dijangka mengambil masa selama setahun, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Saipolyazan M Yusop.

Katanya, ia mengambil masa yang panjang disebabkan kerja-kerja itu menggunakan kaedah konvensional.

"Kita menggunakan kaedah konvensional (dan) tidak menggunakan kaedah letupan. Jadi (ia) mengambil masa yang panjang.

"Tapi kita juga melihat kaedah-kaedah tertentu untuk mempercepatkan proses itu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan di Balai Berita, Bangsar.

Katanya, pada masa ini, kerja-kerja pemasangan dinding adang sedang dilakukan oleh kontraktor, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan ia harus menepati syarat duluan yang diletakkan oleh pihaknya.

"Supaya mereka boleh meneruskan kerja (perobohan) ini. Insya-Allah notis untuk meneruskan akan diberikan. Diharapkan kita akan bermula (kerja-kerja) perobohan pada Mei atau Jun ini," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya melihat pemasangan dinding adang itu berjalan lancar dan berkemungkinan ia akan disiapkan dengan lebih awal.

Beliau juga menyifatkan kerja-kerja perobohan stadium itu rumit kerana pihak kontraktor harus menepati pelbagai syarat membabitkan alam sekitar, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak memberikan gangguan kepada penduduk sekitar.

"Mereka harus mengeluarkan cara kerja mereka supaya menepati alam sekitar, PBT dan tidak memberikan gangguan kepada penduduk sekitar," katanya.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan pembinaan kompleks sukan baharu termasuk pembinaan semula Stadium Shah Alam yang menelan kos antara RM787 hingga RM800 juta.

Venue itu bakal dilengkapi teknologi tinggi apabila permukaan padangnya boleh diubah seperti mana yang terdapat di Stadium Alabama, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 2:08 PM