Mohd Azizi Abu Naim.
Mohd Azizi Abu Naim.
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim menegaskan tetap akan menyokong kerajaan Perpaduan dan tidak akan sesekali menarik balik sokongan yang dibuat sebelum ini.

Katanya, ini kerana tindakan yang dibuat itu tidak menyalahi Perlembagaan kerana hanya menyokong, bukannya keluar parti.

"Jika ditanya adalah saya masih menyokong Kerajaan MADANI, jawapan saya adalah ya dan saya tidak akan menarik kenyataan yang dibuat pada 7 November tahun lalu.

"Jika disebabkan saya menyokong akan hilang kerusi, saya akan mendapat penjelasan secara terperinci kenapa saya tidak boleh sokong," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, jika melihat kenyataan Tan Sri Muhyiddin sebelum ini, selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan, notis akan dihantar kepadanya untuk membuat pendirian berhubung sokongan.

"Apapun jawapan kita tetap kekal sama dan tidak berubah. Kena faham sokong dan keluar parti benda berbeza.

"Dalam Parlimen pun sekiranya ada pindaan undang-undang dibuat, Ahli Parlimen pembangkang tetap menyokong. Perkara seperti inilah kita akan bawa ke mahkamah nanti," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, ROS meluluskan kelulusan pindaan usul pindaan Perlembagaan BERSATU kerana ia memenuhi kehendak mengikut Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, berkata pindaan peruntukan dilaksanakan parti itu juga, dibuat mengikut Perlembagaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 12:58 PM