TATA kelola baik sangat penting untuk membantu negara bergerak lebih maju ke hadapan.
TATA kelola baik sangat penting untuk membantu negara bergerak lebih maju ke hadapan.
Oleh Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Agenda meningkatkan tata kelola di negara ini menjadi antara tumpuan utama Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan sasaran bagi menghapuskan ketirisan dan pembaziran dana awam.

Tadbir urus yang baik menjadi faktor penting bukan sahaja dalam usaha menarik pelaburan masuk ke Malaysia, tetapi juga meningkatkan persekitaran perniagaan serta menjaga keselamatan rakyat dan sempadan negara.

Tanpanya, negara berisiko terus mengalami kerugian hasil yang sebelum ini dilaporkan mencecah RM5 bilion setahun manakala jenayah kewangan yang menyumbang kepada ekonomi bayangan menyebabkan kehilangan hasil cukai dianggar RM70 bilion setahun.

Tata kelola yang baik menjadi asas dalam Ekonomi MADANI, penekanan yang dilihat sebagai permulaan bagus dan mustahak dalam usaha mengekang sebarang ketirisan demi memacu pembangunan negara.

Perancangan lebih rapi

Bagi Pengarah Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional, Universiti Malaya (UM LEAD), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, untuk menjayakan matlamat itu, ia memerlukan satu ekosistem holistik dan disokong agensi khusus berperanan merancang dan memantau tata kelola seperti dikehendaki.

Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) itu mengesyorkan konsep TREE iaitu transparent (ketelusan), restore accountability (memulihkan akauntabiliti), efficiency (kecekapan) dan effectiveness (keberkesanan).

Katanya, konsep TREE boleh digembleng dan dipraktik dalam kerajaan sekarang sebagai strategi bagi meningkatkan tata kelola yang baik.

"Di mana-mana dalam dunia, saya rasa tata kelola baik sangat penting untuk membantu negara maju ke hadapan kerana kalau semua sistem ekonomi mengikut peraturan sedia ada, ada tata kelolanya, ia akan mengurangkan isu integiriti.

"Kalau melaksanakan tata kelola berlandaskan TREE ini, ia lebih telus, lebih kebertanggungjawaban, lebih efisien dan lebih efektif. Sudah tentu ini membantu meningkatkan ekonomi negara.

"Tata kelola yang baik penting, tapi pada masa sama, untuk ekosistem itu berlaku, tata kelola perlu diletak pada tahap lebih tinggi dalam negara.

"Perlu ada badan utama mengawasi atau agensi Pusat diberikan tanggungjawab memantau dan merancang (perkara berkait integriti).

"Lebih penting dalam perancangan tata kelola ini, ada keperluan diwujudkan organisasi khusus dengan barisan kepemimpinannya bagi menangani masalah integriti," katanya.

Mengenai usaha kerajaan membanteras amalan rent seeking atau budaya Ali Baba yang sudah lama bertapak di negara ini, beliau berpandangan, akta khusus yang disyor diperkenalkan nanti langkah yang bagus namun urusan mendidik masyarakat juga perlu diberikan penekanan.

"Masih ada tidak tahu Ali Baba itu satu kesalahan, malah ada segelintir berani menggunakan alasan 'tak tahu' untuk lepaskan diri.

"Akta atau undang-undang sekadar garis panduan kerana semua akhirnya berbalik kepada budaya.

"Kalau dah berakar umbi, kena banteras isu berkenaan. Ada sesetengah orang buat-buat jahil, kena ingat ia bukan satu alasan melepaskan diri.

"Kena tahu ini kesalahan dan amalan patut dihentikan," katanya.

Melihat syor menggubal Akta Anti Ali Baba sebagai bagus, beliau berkata, undang-undang itu boleh berperanan pada peringkat permulaan namun tumpuan lebih penting masalah di peringkat akar umbi.

"Kita perlu ada akta, tapi pada masa sama, perlu lihat masalah di akar umbi.

"Apa punca orang ambil kesempatan (kaut untung mudah melalui amalan Ali Baba) kerana akhirnya ia berbalik pada tata kelola," katanya.

Henti amalan tidak baik

Terdahulu pada Julai lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika menjelaskan syor penggubalan undang-undang memerangi budaya Ali Baba, berkata, ia membuktikan usaha menghapuskan amalan itu dalam sektor ekonomi negara ini bukan cakap kosong.

Syor diwujudkan bagi penyelesaian menyeluruh dan berstruktur untuk menghentikan budaya tidak baik itu yang turut menyebabkan rasuah dan ketirisan, sekali gus menjadi antara kelompongan utama ekonomi negara.

Sementara itu, Anis Yusal menyarankan semua pihak merujuk dan memahami nilai terkandung dalam konsep MADANI dan segera mengaplikasikan teras itu untuk memperbaiki tata kelola sedia ada.

Memberi contoh teras Ihsan, iaitu teras terakhir MADANI, beliau berkata, ia sudah menjelaskan apa yang perlu dilakukan iaitu setiap manusia perlu mengihsani dan membantu menyelesaikan masalah.

"Nak capai Ekonomi MADANI, ia bukan perkara baharu kerana Datuk Seri Anwar sudah 20 tahun bercakap hal ini.

"Nilai dalam konsep MADANI penting untuk ekonomi, cuma orang tak faham maksud konsep itu.

"MADANI sudah ada elemen integriti dan integrasi di dalamnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 8:01 AM