SEORANG buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. FOTO Ghazali Kori
SEORANG buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Buruh yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seks menukar pengakuannya di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohamad Fazley Jaafar, 29, menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Pada 21 Mac lalu, tertuduh mengaku bersalah di depan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri sebelum mahkamah menetapkan hari ini untuk jatuh hukum, namun tertuduh menukar pengakuannya.

Bagaimanapun, rakannya Mohd Hasfyanizam Mansor, 48, yang juga seorang guru mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama memperdagangkan seorang wanita berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah apartmen di daerah ini pada 2.35 pagi, 11 Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 22 April depan bagi tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan membenarkan mereka diikat jamin RM12,000 setiap seorang.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iffah Nabihah Mohd Ishak, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ghazali Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 3:59 PM