GAMBAR tular jualan murah diadakan sebuah rangkaian serbaneka.
GAMBAR tular jualan murah diadakan sebuah rangkaian serbaneka.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Sebuah cawangan kedai serbaneka yang baharu dibuka di Kuala Kangsar Prima, di sini, berdepan denda sehingga RM2 juta selepas disyaki tidak membuat permohonan untuk mengadakan jualan murah melebihi tiga hari.

Malah, kedai berkenaan juga didapati menjual barang kawalan termasuk gula, minyak masak dan tepung tanpa lesen runcit.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya mengadakan operasi pada 11 pagi semalam susulan iklan tular di media sosial mengenai gula dijual pada harga 10 sen sebungkus.

Bagaimanapun, katanya harga itu hanya terhad kepada 200 pelanggan pertama sempena pembukaan cawangan rangkaian kedai berkenaan.

"Pemeriksaan ke atas premis itu juga mendapati ia turut mengadakan jualan murah produk minuman dalam tin berkarbonat dengan harga 99 setin dan masih mengadakan jualan murah itu sejak 16 Mac lalu.

"Semakan awal mendapati ia disyaki tidak membuat permohonan untuk mengadakan jualan murah lebih tiga hari.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati cawangan ini disyaki tidak memiliki lesen runcit (CSA) untuk menjual gula, minyak masak dan tepung, sekali gus melakukan kesalahan kerana berniaga barang kawalan tanpa lesen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi kesalahan tidak membuat permohonan mengadakan jualan murah bagi tempoh jualan melebihi tiga hari, ia adalah pelanggaran Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 (Pindaan) 2019;

Sementara, bagi kesalahan berniaga barang kawalan tanpa lesen, ia melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Katanya, tindakan sitaan juga diambil ke atas barang kawalan gula, minyak masak, tepung selain dari resit jualan dan dokumen berkaitan dengan nilai sitaan berjumlah RM200.

"Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

"Bagi kes tidak mengemukakan permohonan jualan murah ia akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabitkan dengan kesalahan jika ia adalah suatu pertubuhan perbadanan, memperuntukkan denda tidak melebihi RM25,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 5:46 PM