BAYANG-BAYANG botol air berada tepat di bawah ekoran fenomena tengah hari tanpa bayang yang berlaku pada sekitar 1.18 tengah hari. FOTO BERNAMA
BAYANG-BAYANG botol air berada tepat di bawah ekoran fenomena tengah hari tanpa bayang yang berlaku pada sekitar 1.18 tengah hari. FOTO BERNAMA
Samadi Ahmad

Putrajaya: Pengunjung Masjid Putra dekat sini, teruja menyaksikan fenomena Lahaina Noon, peristiwa hampir menyerupai fenomena ekuinoks pada jam 1.18 tengah hari, hari ini.

Fenomena yang berlaku di masjid itu juga cukup istimewa kerana memperlihatkan bayang-bayang seluruh dunia menghala tepat di menara masjid ikonik Putrajaya itu, tiga minit sebelum azan Zohor.

Penuntut Doktor Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Raihana Zainal Abidin, 36, berkata, dia datang seawal jam 12.30 tengah hari ditemani dua anaknya untuk menyaksikan fenomena itu.

"Fenomena ini sangat menarik kerana ia berlaku dua, tiga kali setahun. Masyarakat Islam seharusnya mengambil peluang menyaksikan fenomena ini kerana ia menentukan arah kiblat yang betul," katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, pakar falak, Datuk Dr Azhari Mohamed mengesahkan fenomena Lahaina Noon akan berlaku, ia seumpama peristiwa sifar bayang tetapi bezanya zenith atau lintasan matahari itu tidak terjadi tepat di garisan lintang 0 darjah iaitu Khatulistiwa.

Beliau dipetik berkata, seperti ekuinoks, fenomena Lahaina Noon turut berlaku dua kali dalam setahun, namun meliputi kawasan yang terletak antara garisan Sartan dan Jadi.

Penuntut Universiti Pertahanan Nasional, Amir Haziq Dewa Safri, 21, berkata, sebelum ini dia tidak mengetahui mengenai fenomena itu dan sangat teruja menyaksikan fenomena itu buat pertama kali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 4:10 PM