HILMI ketika ditemui pada Majlis Iftar Mahabbah UPKN. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HILMI ketika ditemui pada Majlis Iftar Mahabbah UPKN. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan Kelantan akan menyiapkan sendiri pembinaan Terminal Bas Kota Bharu (KB) Sentral menjelang 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, ini berikutan isu KB Sentral menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk menyiapkannya dan pada masa yang sama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan siap sepenuhnya pada 2027.

Katanya, kerajaan negeri menandatangani perjanjian dengan satu syarikat untuk menyiapkan KB Sentral.

"Cuma ada berlaku pindaan komponen pembangunan sebagaimana yang dirancang dan berlaku perubahan antara faktor utama ECRL tidak membenarkan KB Sentral 'tap masuk' (disambung) ke stesen ECRL.

"Kalau kita nak laksanakan KB Sentral, penumpang ECRL kena turun dulu dan perlu ambil jalan baru nak naik ke KB Sentral.

"Sedangkan asal kita ialah satu konsep integrated (bersepadu) antara KB Sentral, terminal bas, ECRL yang ada hab e-hailing dan kereta sewa seperti KL Sentral," katanya ketika soal jawab di Majlis Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) dan Media Bersama kepimpinan di sini, malam tadi.

Hilmi berkata, pihaknya terpaksa kaji balik proses pembangunan (KB Sentral) dan berlaku perubahan dalam komponen, nilai pembangunan serta jadual kerja tidak sama seperti jadual asal.

"Kita dalam proses untuk memuktamadkan perjanjian akhir antara pemaju dan sekiranya tiada apa-apa kita akan teruskan.

"Peringkat negeri kita dah bayar tanah (pengambilan) dan sekiranya pemaju yang kita lantik dahulu tidak dapat meneruskan konsep asal, kemungkinan kita (kerajaan negeri) akan buat sendiri tanpa komponen pembangunan seperti dirancang sebelum ini iaitu ada pasar raya dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 10:54 AM