Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Projek pembinaan Terminal Bas Kota Bharu (KB) Sentral yang bernilai RM64 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2026.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, KB Sentral itu akan mula dibina dalam masa terdekat di atas tanah seluas 2.02 hektar berdekatan mukim Pendek, di sini.

Katanya, projek berkenaan dibangunkan sebagai kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) yang mana turut menyediakan beberapa kemudahan lain seperti pusat konvensyen, tempat letak kereta, hotel dan apartmen.

"Selain itu, terdapat juga stesen minyak, kolam takungan, Direct Factory Outlet (DFO) serta komponen-komponen lain.

"Pembangunan projek ini akan dilaksanakan secara penswastaan yang mana kos tanah dan pembangunan projek ini akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pemaju," katamya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan Pemaju Projek Pembangunan KB Sentral, di sini, hari ini.

Ahmad berkata, pembangunan KB Sentral sejajar dengan kewujudan Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terletak bersebelahan tapak cadangan projek berkenaan.

"Pembinaan ini berunsurkan ciri-ciri Islamik, mesra alam serta teknologi hijau, selain mesra pejalan kaki dan orang kurang upaya (OKU).

"Kerajaan negeri menaruh harapan dengan adanya pembangunan KB Sentral agar menjadikan sebagai hab sistem pengangkutan yang berkualiti kepada rakyat Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 3:35 PM
Ahmad Yakob (tengah) melakukan gimik perasmian  Majlis Penyerahan Surat Lantikan Pemaju Projek Pembangunan KB Sentral di hotel The Grand Renai. NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ahmad Yakob (tengah) melakukan gimik perasmian Majlis Penyerahan Surat Lantikan Pemaju Projek Pembangunan KB Sentral di hotel The Grand Renai. NIK ABDULLAH NIK OMAR