Anggota tentera menemui kotak mengandungi 150 karton rokok yang disorok di dalam hutan berdekatan sempadan di Ba'kelalan, semalam. IHSAN PMTTD
Anggota tentera menemui kotak mengandungi 150 karton rokok yang disorok di dalam hutan berdekatan sempadan di Ba'kelalan, semalam. IHSAN PMTTD
Mohd Roji Kawi


Kuching: Cubaan penyeludup menyembunyikan barangan yang cuba dibawa keluar ke negara jiran di dalam hutan, gagal selepas ditemui pasukan tentera, semalam.

Jurucakap Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) berkata, barangan berkenaan yang disimpan di dalam tiga bungkusan besar yang mencurigakan ditemui di Sektor Operasi Jagakawan Ba'kelalan, utara Sarawak.

Katanya, bungkusan berkenaan ditemui anggota tentera yang menjalankan rondaan di Kampung Punang, Ba'kelalan yang terletak 1.2 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia, kira-kira 1.30 petang.

"Pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan itu mendapati ia mengandungi 150 karton rokok.

"Sebanyak 100 karton rokok itu adalah jenama Premium, manakala 50 karton lagi adalah jenama Era," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua rokok yang ditemui itu dianggarkan bernilai RM8,250.

"Laporan polis dibuat di Pondok Polis Ba'kelalan dan semua barangan rampasan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya lagi, Tentera Darat terus komited untuk memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara daripada sebarang bentuk pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati), kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 10:06 AM