LORI sarat muatan rotan kering yang cuba diseludup ke Indonesia ditahan oleh anggota tentera di Lubok Antu. FOTO Ihsan Tentera Darat
LORI sarat muatan rotan kering yang cuba diseludup ke Indonesia ditahan oleh anggota tentera di Lubok Antu. FOTO Ihsan Tentera Darat
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sejumlah rotan kering yang cuba diseludup ke negara jiran dirampas oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di Lubok Antu, Sri Aman, awal pagi, hari ini.

Jurucakap Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) berkata, rampasan itu dibuat oleh anggota yang sedang menjalankan rondaan di lokasi berdekatan sempadan.

Menurutnya, ketika memeriksa lokasi yang dikenali sebagai 'Pondok John' dalam kalangan penduduk tempatan yang terletak 800 meter dari sempadan, anggota tentera mengesan sebuah lori yang dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota tentera kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati lori berkenaan sarat dengan muatan rotan kering yang cuba diseludup ke Kalimantan, Indonesia.

"Pemeriksaan itu dijalankan anggota unit yang sedang melaksanakan operasi di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen Infantri) di Sektor Op Awas/Keris Parang, Lubok Antu, pada jam 2.30 pagi.

"Turut ditahan enam lelaki warga tempatan berusia lingkungan 25 hingga 78 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan membawa muatan 5,840 kilogram (kg) yang bernilai RM78,840.00.

"Turut dirampas dua kenderaan iaitu lori Hino Tipper bernilai RM150,000 dan sebuah Toyota Fortuner bernilai RM55,000 dengan kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM 283,840.

"Laporan polis dibuat di Balai Polis Lubok Antu dan kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kastam Negeri Sarawak hari ini untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 7:46 PM