ORANG Islam menunaikan solat. FOTO NSTP.
ORANG Islam menunaikan solat. FOTO NSTP.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Solat khusus kononnya mampu qada' solat selama 400 tahun yang dikerjakan pada Jumaat terakhir bulan Ramadan adalah hadis palsu.

Terdahulu, tular satu video menerusi platform TikTok bahawa sesiapa yang bersolat empat rakaat pada Jumaat terakhir Ramadan kononnya pengganti solat yang pernah ditinggalkan sebanyak 400 tahun.

Ketua Unit Hadis, Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD) Universiti Islam Selangor (UIS) Dr Mohd Khafidz Soroni berkata, penzahiran hadis palsu itu dibuat berdasarkan kepada keterangan ulama muktabar antaranya Imam Ibn Hajar al-Haitami, Imam Mulla 'Ali al-Qari, al-Allamah al-Syaukani, al-‎Muhaddith Abdul Aziz ad-Dihlawi, Imam Abdul Hayy al-Laknawi, al-Allamah ‎Zainuddin al-Malibari dan ramai lagi.

Beliau berkata, Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam 'al-Fatawa al-Fiqhiyyah' ketika ditanya tentang ‎solat ini yang dinyatakan sebagai 'Solat al-Bara'ah'.

Menurutnya, Imam Ibn Hajar menukilkan bahawa Solat al-Bara'ah dengan bersolat fardu ‎lima waktu selepas Jumaat terakhir pada bulan Ramadan dengan kepercayaan bahawa ia ‎dapat menghapuskan dosa yang dilakukan pada sepanjang tahun kerana meremehkan ‎hal solat, maka ia diharamkan dan wajib ditegah mereka ‎daripadanya.

"Secara tegasnya, penyebaran video berkenaan kepada masyarakat awam hendaklah ‎dihentikan segera.

"Masyarakat perlulah bersikap lebih cakna apabila berdepan satu amalan ‎yang tidak pasti dan merujukkannya terlebih dahulu kepada pihak berautoriti sebelum ‎menyebarkannya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Jaringan Industri, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, beliau secara peribadi tidak menjumpai kesahihan hadis berkenaan.

"Berhubung hadis yang dikatakan mampu qada' solat selama 400 tahun ini, saya secara peribadi tidak menjumpai yang menjelaskan hadis itu sahih.

"Bagi solat yang ditinggalkan ketika kita lalai, alpa, kesusahan dan sebagainya, Nabi SAW meminta untuk kita bertaubat kepada Allah SWT dan terdapat pandangan ulama untuk kita qada' solat sekadar yang kita mampu.

"Ada juga ulama yang mengatakan untuk memberikan fokus kepada solat yang akan datang dan memastikan tidak ditinggalkan dengan sengaja," katanya.

Pada masa sama, Mohd Izhar Ariff turut menasihatkan kepada orang awam supaya tidak terus menerima sesuatu amalan yang dijumpai di dalam platform media sosial daripada individu yang tidak dikenali.

Menurutnya, orang awam perlu merujuk kepada pakar dalam ahlinya supaya tidak berlaku kesilapan yang menyimpang daripada ajaran sebenar.

"Untuk tujuan ini, orang awam perlu mendapatkan pandangan contohnya isu berkenaan dengan feqah, bagi ahli feqah, akidah untuk ahli akidah, tasawuf untuk ahli tasawuf dan seterusnya.

"Mereka juga boleh membuat rujukan dengan jabatan mufti negeri masing-masing jika berlaku kekeliruan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 5:38 PM