MENGQADA solat pada Jumaat terakhir Ramadan dapat menampung setiap sembahyang yang luput daripada umur seseorang sehingga 70 tahun adalah daripada hadis palsu.
MENGQADA solat pada Jumaat terakhir Ramadan dapat menampung setiap sembahyang yang luput daripada umur seseorang sehingga 70 tahun adalah daripada hadis palsu.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Majoriti ulama mengharuskan umat Islam beramal dengan hadis daif, khususnya dalam aspek kelebihan amalan, motivasi, sirah, doa dan seumpamanya. Namun semua ulama bersepakat menyatakan haram mengamalkan dan menyebarkan hadis palsu yang jelas kepalsuannya dalam apa jua aspek serta keadaan.

Hadis palsu adalah hadis yang direka cipta dan sengaja disandarkan kepada Nabi SAW secara dusta. Oleh itu, umat Islam diseru agar berwaspada daripada sengaja mengadakan dan menyebarkan hadis palsu kerana orang yang melakukannya berdosa besar dan mendapat ancaman api neraka.

Terdapat sebahagian hadis atau kisah palsu mengenai Ramadan yang sering juga berlegar dalam kalangan masyarakat. Antaranya, kisah yang tersebar di media sosial seperti berikut:

"Setibanya Ramadan semua roh berkumpul di Lauh Mahfuz memohon kepada Allah SWT untuk kembali ke bumi. Ada roh yang dibenarkan pulang ke bumi dan ada yang tidak dibenarkan. Roh yang dibenarkan pulang adalah kerana amalan baik mereka semasa hayat mereka ataupun ada penjamin yang mendoakan mereka. Manakala roh yang tidak dibenarkan pulang disebabkan kesalahan mereka semasa hayat mereka akan terus dipenjara di Lauh Mahfuz. Apabila roh dibenarkan pulang, perkara pertama yang mereka lakukan adalah pergi ke tanah perkuburan untuk melihat jasad mereka. Kemudian mereka akan pergi ke rumah anak-anak mereka, orang yang mendapat harta pusaka mereka dan ke rumah orang yang mendoakan mereka dengan harapan orang yang mereka lawati itu memberi hadiah untuk bekalan mereka. Perkara ini akan berlarutan sehinggala tibanya Aidilfitri. Pada saat ini, mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada jasad dan pulang semula ke Lauh Mahfuz dengan bekalan yang diberikan oleh mereka yang masih hidup."

Berdasarkan penelitian, terdapat keraguan pada kisah di atas kerana tiada nas yang menyebut roh berada di Lauh Mahfuz dan juga tiada dalil yang menyebut roh akan kembali ke rumah pada Ramadan. Bahkan, keseluruhan cerita itu tidak ditemukan sumber asalnya.

Terdapat pelbagai dalil dan pendapat mengenai kedudukan roh selepas mati sebagaimana yang dibentangkan dalam kitab ar-Ruh oleh Syeikh Ibn Qayyim, namun tiada pendapat yang menyebut roh berada di Lauh Mahfuz. Apabila roh berpisah dari tubuh, ia berpindah ke alam barzakh dan tidak akan mampu kembali semula ke alam dunia tanpa izin Allah SWT. Dakwaan roh pulang kembali ke rumahnya pada Ramadan atau setelah hari tertentu kematian sebenarnya tidak disokong oleh sebarang dalil.

Antara hadis palsu berkaitan Ramadan ialah hadis kelebihan solat kaffarah atau solat al-bara'ah atau solat qada seumur hidup pada Jumaat terakhir Ramadan iaitu hadis: "Sesiapa yang mengqada solat fardu pada Jumaat terakhir Ramadan, ia dapat menjadi penampung bagi setiap solat yang luput daripada umurnya sehingga 70 tahun." Atau hadis: "Barangsiapa selama hidupnya pernah meninggalkan solat, tetapi tidak dapat menghitung jumlahnya, maka solatlah pada Jumaat terakhir Ramadan sebanyak empat rakaat dengan satu tasyahhud, setiap rakaat membaca sekali al-Fatihah, kemudian surah al-Qadar 15 kali dan surah al-Kauthar 15 kali. Solat berkenaan sebagai kaffarah (pengganti) solat 400 tahun."

Ulama menegaskan hadis ini adalah palsu dan tiada asal. Antara yang berpendapat demikian daripada kalangan ulama Syafii ialah Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah dan Imam Zainuddin al-Malibari dalam kitab Fath al-Mu'in. Ulama yang mensyarahkan kitab Fath al-Mu'in seperti al-Allamah Abu Bakr Syata al-Bakri dalam I'anah at-Talibin dan al-'Allamah as-Sayyid 'Alawi bin Ahmad as-Saqqaf dalam Tarsyih al-Mustafidin zahirnya juga bersetuju dengan pendapat berkenaan.

Antara yang mengatakannya palsu daripada kalangan ulama Hanafi ialah Imam Mulla Ali al-Qari dalam al-Maudhu'at al-Kubra dan as-Sughra, al-Muhaddith Abdul Aziz ad-Dihlawi dalam al-Ujalah an-Nafi'ah dan Imam Abdul Hayy al-Laknawi dalam al-Athar al-Marfu'ah fi al-Akhbar al-Maudhu'ah dan risalah khusus mengenainya, Rad' al-Ikhwan 'an Muhdathat Akhir Jum'ah min Ramadhan. Ulama lain berpendapat demikian ialah al-Allamah al-Syaukani dalam al-Fawa'id al-Majmu'ah.

Ringkasnya, kita perlulah berhati-hati daripada menggunakan hadis yang disepakati palsu dan perlu sentiasa merujuk kepada ulama yang ahli serta sumber yang muktamad. Kecurigaan terhadap teks hadis dan ketiadaan sumbernya serta maklumat tentangnya di sisi ulama hadis boleh menandakan sesuatu hadis itu kemungkinan besar adalah palsu dan direka.


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 6:00 AM