TANGKAP layar rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di kaki lima bangunan kedai di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO IHSAN PEMBACA
TANGKAP layar rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di kaki lima bangunan kedai di Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO IHSAN PEMBACA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Insiden warga asing cedera dalam kejadian di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, yang tular sejak semalam bukan berkaitan kes samun seperti didakwa di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kejadian itu membabitkan pergaduhan di sebuah rumah kongsi di pasar borong terbabit yang berlaku malam Ahad lalu.

Menurutnya, seramai empat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut susulan kejadian itu.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 20 dan 21 tahun yang dipercayai terbabit dengan kes itu.

"Motif pergaduhan itu dipercayai akibat perselisihan faham antara suami isteri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah.

"Mereka direman bermula 18 Mac hingga 23 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Rakaman video itu dipercayai ditularkan individu yang terbabit dalam pergaduhan terbabit iaitu lelaki warga Myanmar sebelum disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan maklumat tidak benar dan tidak berasas yang belum ditentukan kesahihan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

"Sebarang maklumat berhubung insiden itu boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi empat minit 55 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di kaki lima bangunan kedai di pasar borong berkenaan tular di media sosial, hari ini.

Video terbabit ditularkan dengan keterangan 'India curi Rohingya punya rumah'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 4:37 PM