Polis menyiasat kes pergaduhan di Pasar Borong Kuala Lumpur  berkaitan selisih faham menolak bakul sayur sehingga tular di media sosial semalam. FOTO Ihsan PDRM
Polis menyiasat kes pergaduhan di Pasar Borong Kuala Lumpur berkaitan selisih faham menolak bakul sayur sehingga tular di media sosial semalam. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis akan memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan kes pergaduhan sekumpulan lelaki dipercayai akibat perselisihan faham di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis sudah memeriksa tiga video tular terbabit yang memaparkan sekumpulan lelaki sedang menjerit-jerit dan tolak-menolak antara satu sama lain.

"Hasil siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku di pasar borong itu kira-kira 4.30 petang semalam disebabkan perselisihan faham antara dua pihak berkaitan isu menolak bakul sayur.

"Pasukan polis yang dihantar ke lokasi sejurus menerima maklumat mendapati pergaduhan sudah selesai sebaik mereka tiba dan tiada sebarang senjata digunakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Katanya, individu terbabit sudah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu keamanan dan ketenteraman awam," katanya.

Katanya, oang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 4:10 PM