Ahmad Baihaqi Muhammad Asri, 30, mengambil air manisan nira yang terkumpul dalam bekas plastik yang diikat pada mayang pokok kelapa ketika tinjauan di Kampung Terbok, di sini, FOTO Nik Abdullah
Ahmad Baihaqi Muhammad Asri, 30, mengambil air manisan nira yang terkumpul dalam bekas plastik yang diikat pada mayang pokok kelapa ketika tinjauan di Kampung Terbok, di sini, FOTO Nik Abdullah
Nor Fazlina Abdul Rahim


Tumpat: Seorang pengusaha air nira kelapa di Kampung Terbok di sini, memperoleh pendapatan berganda apabila air nira kelapa yang diusahakannya terjual sebanyak 350 liter setiap hari.

Ahmad Baihaqi Muhammad Asri, 30, yang mengusahakan tanah seluas 1.4 hektar itu juga tidak menyangka air nira kelapa yang diusahakan sejak 14 tahun lalu kini semakin mendapat sambutan dan dibawa ke beberapa negeri terutama Lembah Klang.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, sepanjang tahun, dia mengusahakan air nira kelapa, namun setiap kali Ramadan, sambutan diterima sangat menggalakkan.

"Jika pada hari biasa, saya hanya menjual 200 liter air nira, namun disebabkan sambutan menggalakkan pada Ramadan, saya menghasilkan sehingga 350 liter setiap hari.

"Ikutkan jumlah itu masih tidak mampu menampung permintaan pelanggan, namun setakat ini itu sahaja yang termampu saya hasilkan membabitkan 250 pokok terutama pokok kelapa pandan," katanya ketika ditemui di kebunnya.

Jelasnya, air nira yang dihasilkan hanya dijual di rumah dan kebanyakan pembeli sudah mengetahui memandangkan dia sudah menjual sejak 14 tahun yang lalu dan dia antara pengusaha nira yang terbesar di Kelantan.

"Selain menjual secara runcit di rumah, saya juga jual secara borong dan kebanyakan air nira saya akan dibawa dan dijual di negeri lain termasuk Kuala Lumpur dan Johor.

"Alhamdulillah sejak mengusahakan air nira kelapa, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan saya juga dibantu oleh ahli keluarga yang lain termasuk bapa, bapa saudara dan sepupu.

"Harga air nira kelapa yang dijual adalah RM10 bagi 1.5 liter. Setiap kali Ramadan, saya memberi tumpuan penuh kepada air nira kelapa, manakala pada hari biasa, saya turut menghasilkan gula melaka," katanya.

Ahmad Baihaqi berkata, minat untuk menghasilkan air nira kelapa bermula sejak 14 tahun lalu apabila dia melihat jirannya menghasilkan minuman berkenaan dan mula mempelajarinya.

Katanya, bermula daripada situ, dia menghasilkan air nira sendiri membabitkan 100 pokok kelapa di sekitar rumah bapanya.

"Alhamdulillah, percubaan saya dalam bidang air nira kelapa menjadi sehinggalah saya kini mempunyai 400 pokok kelapa di kawasan seluas 1.4 hektar.

"Setiap pokok kelapa yang ditanam hanya akan menghasilkan air nira apabila berusia tiga tahun setengah dan saya berharap produk air nira kelapa yang diusahakan ini terus mendapat sambutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 8:03 AM