LADANG ternakan babi. FOTO Arkib NSTP
LADANG ternakan babi. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Penampang diisytiharkan daerah terbaru di Sabah dilanda wabak demam babi Afrika (ASF).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, virus ASF dikesan pada 14 Disember tahun lalu dan menular di lima kampung membabitkan kawasan Inobong, Sugud dan Koidupan.

"Kes terbabit membabitkan sebanyak 229 babi kepunyaan enam pemilik berbeza. Kerugian dianggarkan mencecah RM115,000," katanya dalam kenyataannya, semalam.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, Penampang mempunyai ladang babi komersial dengan anggaran 2,900 ternakan babi.

Menurutnya, dalam usaha untuk membendung virus terbabit merebak ke daerah lain yang berdekatan, pihaknya menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) akan melaksanakan kempen kesedaran di Penampang.

Katanya, ini bagi memastikan penduduk tempatan maklum mengenai ASF.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, JPVS akan memantau serta mengawal pergerakan babi dan produk babi tidak keluar dari daerah Penampang buat masa ini.

Sejak wabak ASF pertama kali diisytiharkan tahun lalu, sebanyak sepuluh daerah diisytiharkan bebas ASF selepas 60 hari berlalu sejak kes terakhir dilaporkan.

Antara daerah terbabit adalah Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid, Tongod, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 8:49 AM