PENGUAT KUASA imigresen menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing yang menyewa di Rumah Pangsa Bercham. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
PENGUAT KUASA imigresen menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing yang menyewa di Rumah Pangsa Bercham. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seramai 158 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk 11 kanak-kanak ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Perak di Rumah Pangsa Bercham, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, menerusi Ops Pintu itu, seramai 358 warga asing diperiksa dengan kekuatan 77 anggota imigresen dan 80 anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas 560 unit pangsapuri di 15 blok di kawasan itu dengan 360 unit berpenghuni.

Meor Hezbullah berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 93 lelaki serta 54 wanita berusia antara 9 hingga 60 tahun di lokasi yang sememangnya dianggap sebagai 'hotspot' penempatan warga asing.

Beliau berkata, Pati ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, China, Pakistan, Nepal, India, Sri Lanka, Myanmar dan Vietnam.

"Mereka dihantar ke Pejabat Imigresen Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perak, Meru Raya, di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

"Tangkapan dilaksanakan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) iaitu berada dalam negara tanpa permit atau dokumen sah dan Seksyen 51c iaitu tempoh keberadaan dalam negara melebihi tempoh dibenarkan.

"Rumah pangsa ini 'hotspot' yang dikenal pasti pihak imigresen yang mana sebelum ini kita pernah melaksanakan operasi penguatkuasaan," katanya dalam sidang media di rumah pangsa itu.

Katanya, operasi bermula 12.30 tengah malam itu dibuat hasil aduan dan maklumat awam dengan penduduk antara lain turut mendakwa kira-kira 80 peratus unit kediaman dihuni warga asing.

Ditanya sejak bila lokasi itu menjadi 'hotspot' warga asing, Meor Hezbullah berkata, masyarakat seharusnya tidak mencetuskan stigma dengan keberadaan warga asing yang mendiami sesuatu kawasan memandangkan tidak semua warga asing adalah Pati dan tidak mempunyai dokumen atau pas lawatan sah.

"Mungkin berdekatan dengan tempat mereka bekerja dan pasar raya iaitu tempat untuk memudahkan mereka mendapat keperluan harian, menjadikan kawasan ini ramai dihuni warga asing.

"Semua yang ditahan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dulu bagi mendapatkan keputusan sama ada untuk tindakan jabatan, pengusiran, atau dikenakan hukuman denda atau pendakwaan," katanya.

Sementara itu, penduduk, K Satthiya, 42, berkata, lambakan warga asing mendiami kawasan pangsapuri itu terjadi sejak kira-kira lima tahun lalu apabila banyak unit kediaman disewa sebagai asrama pekerja sekitar RM250 hingga RM450.

"Daripada seorang, sekarang mereka membina keluarga bahkan sudah ada anak-anak kecil hingga menampakkan penempatan ini seolah-olah milik komuniti mereka," katanya.

Seorang lagi penduduk, Kamal Izham, 30, berkata, pergaduhan sesama warga asing kerap tercetus selain sikap segelintir yang sering mabuk dan gemar keluar rumah tanpa memakai baju menyebabkan penduduk bimbang membiarkan anak-anak keluar bermain di luar rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 11:02 AM