GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Cadangan untuk melatih rakyat tempatan terutama golongan muda sebagai penuai kelapa sawit dengan mengikuti Pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) diyakini dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing dalam bidang berkenaan.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Adzmi Hassan berkata, perancangan itu adalah usaha yang baik kerana ketika ini negara mengalami 'limpahan' pekerja asing terutama dalam bidang 3D (kotor, bahaya, sukar).

"Kalau ada usaha daripada Kerajaan untuk melatih pekerja tempatan memang baguslah (apatah lagi bidang itu akan) dimasuk dalam program TVET. Kita memang minta supaya kokurikulum seperti itu masukkan (bidang kemahiran) memotong sawit dan perniagaan sawit serta keseluruhannya.

"Sekarang ini kita memang kekurangan pekerja tempatan kerana kalau kita lihat pemotong buah semua datang dari luar negara sebab kerja bidang sawit ini tergolong dalam 3D," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan bidang berkenaan tidak menjadi pilihan golongan muda kerana ia membabitkan bidang 3D namun beliau berpendapat jika hasil pendapatan yang diperoleh setimpal ia boleh menarik perhatian mereka.

"Kita boleh tambah satu lagi D iaitu duit ini kerana kalau pendapatannya bagus (dan berbaloi) tiada masalah. Dia boleh kerja, ambil upah dan menjadi usahawan (dalam peladangan kelapa sawit). Pendapatan perlu setimpal kerana pekerja lokal mempunyai lebih tanggungan (berbanding pekerja asing).

"Selain itu pendedahan kemahiran TVET (dalam bidang berkenaan) juga perlu dilakukan di peringkat awal dan promosi mengenainya juga perlu di perluaskan.

"Sentimen mengatakan kerja ladang ini adalah kerja bawahan perlu diubah dan percaya dengan ada usaha seperti ini ia akan dapat membantu," katanya.

Semalam media melaporkan, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) merancang melatih rakyat tempatan terutama golongan muda sebagai penuai kelapa sawit.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, ia selaras dengan usaha menjadikan penuai kelapa sawit sebagai salah satu profesion unik serta amat diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 8:52 PM