GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang mula beroperasi semula pada 10.30 malam tadi, akan mengambil masa selama 10 jam untuk aktiviti pencucian dan pengepaman.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, aktiviti pencuci dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan bertujuan memastikan LRA dapat beroperasi sepenuhnya bagi mengisi kolam imbangan sehingga ke paras empat meter.

"Proses mengisi kolam imbangan dijangka selesai pada 8.30 pagi ini sebelum dapat diagihkan kepada pengguna.

"Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan terlebih dahulu.

"Ini termasuk memenuhkan semua tangki utama yang sudah kosong, memastikan tekanan air mencukupi serta memastikan tiada 'airlock' dalam sistem perpaipan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor terus melaksanakan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 juta liter sehari (JLH), Empangan Sungai Tinggi sebanyak 800 JLH, HORAS 600 sebanyak 150 JLH dan operasi pengepaman kolam air pula sebanyak 2,023 JLH untuk membantu proses pemulihan sumber air mentah bagi keempat-empat LRA yang kini sedang beroperasi merawat air dengan kapasiti maksimum sebanyak 2,850 JLH.

Dalam pada itu, Air Selangor mendapat bantuan sembilan lori tangki daripada operator air negeri lain seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd ( SAJ) untuk membantu mengagihkan air kepada pengguna terjejas.

"Sehingga kini, Air Selangor sudah menggerakkan 114 lori tangki termasuk sembilan daripada operator negeri lain, 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air, menempatkan 70 tangki statik di 19 Pusat Khidmat Setempat serta mengagihkan air minum lima liter.

"Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 11:21 AM