GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Akibat berada di bawah pengaruh dadah, seorang lelaki tergamak menikam rakannya ketika datang ke rumah mangsa di Sungai Way di sini, untuk menuntut hutang RM30.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismailberkata, kejadian berlaku pada jam 12.15 tengah malam kelmarin apabila suspek berusia 20-an datang ke rumah mangsa untuk menuntut hutang.

"Bagaimanapun berlaku pergelutan semasa kejadian itu di mana suspek mengeluarkan pisau dan menikam dadah kiri serta mengelar leher mangsa.

"Mangsa menjerit kesakitan dan lari masuk ke dalam rumah meminta bantuan rakan serumah.

"Kejadian berlaku apabila suspek tidak berpuas hati mangsa enggan membayar baki hutang RM30 menyebabkan dia marah. Suspek yang ketika itu berada di bawah pengaruh dadah bertindak menikam dada mangsa beberapa kali dan mengelar leher mangsa," katanya tadi.

Shahrulnizam berkata, susulan itu polis menahan suspek pada jam 1 pagi kelmarin di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.

"Mangsa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dalam keadaan stabil. Luka kecederaan juga sudah dijahit.

"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah syabu dan dia direman sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 2:48 PM