FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Hanya kerana ditegur membazir duit membeli hadiah jam tangan mahal menyebabkan seorang lelaki bertengkar dengan isterinya dan sanggup mengelar dirinya menggunakan kaca di kediaman mereka di Damansara di sini, kelmarin.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima maklumat memberitahu ada seorang lelaki mengelar diri sendiri dengan kaca sehingga berlaku pendarahan yang banyak pada tangan dan lehernya di rumah.

Menurutnya, hasil siasatan dapati pada 7 malam berlaku pertengkaran antara mangsa dan isterinya.

"Isteri menyatakan mangsa membelikan hadiah jam tangan dan isteri menegurnya tidak berbelanja lebih.

"Ini menyebabkan mangsa marah dan memecahkan balang kaca serta mengambil serpihan kaca sebelum kelar pergelangan tangan kiri dan leher," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, mangsa mempunyai masalah kesihatan dan serta pernah mengugut akan mencederakan dirinya.

"Mangsa keluar dari hospital semalam dan menerima jahitan di pergelangan tangan kiri dan di leher.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan. Tiada tangkapan setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 4:39 PM