Tengku Hassanal turut meminta rakyat supaya menjaga kesihatan menerusi Instagram Story milik baginda semalam.
Tengku Hassanal turut meminta rakyat supaya menjaga kesihatan menerusi Instagram Story milik baginda semalam.
Shahrinnahar Latib


SEMUA masjid di seluruh Pahang diminta mengadakan bacaan Qunut Nazilah sewaktu solat Jumaat dan solat Subuh secara berterusan hingga keadaan penularan wabak Covid-19 kembali terkawal.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, bacaan Qunut Nazilah ini perlu dilaksanakan bermula hari ini bagi mendoakan kesejahteraan rakyat daripada wabak itu.

“Dengan berlakunya penyebaran wabak Covid-19 yang melanda serata negara di dunia dan Malaysia khasnya sejak akhir-akhir ini, marilah kita bersama-sama bersatu hati dan mengukuhkan kepercayaan keimanan kita.

“Marilah kita sentiasa memohon tangisan doa dan meningkatkan ibadat kepada Robbul Jalil supaya memberi petunjuk kepada kita semua dan dihindari dari segala wabak khasnya Covid-19 yang sedang melanda kini,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda bertitah, moga dengan rahmat Allah SWT dan kasih sayang Rasulullah SAW, semua umat Islam diberi perlindungan dan kemenangan dunia dan akhirat.

Sementara itu, menerusi Instagram Story milik baginda semalam, Tengku Hassanal turut meminta rakyat supaya menjaga kesihatan dan kebersihan diri berikutan penularan wabak itu.

Baginda juga bertitah individu yang terbabit supaya cepat sembuh selain kekal positif dan kuat menghadapi penyakit berkenaan.

“Hentikan Covid-19... Saya doa semua cepat sembuh, stay strong and positif to those infected. We are with you. Tolong jaga kesihatan dan kebersihan,” titah baginda.

Dalam status yang sama baginda turut memuat naik gambar memakai penutup mulut dan hidung.

Pahang mencatatkan kes pertama Covid-19 apabila seorang peserta Ijtimak Tabligh disahkan positif penyakit itu selepas menghadiri ‘ijtimak tabligh’ di Masjid Seri Petaling pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Kes pertama itu kini dikuarantin dan diberi rawatan di wad isolasi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan akan dipantau dalam tempoh 14 hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 4:04 PM