Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Isu pendedahan kegiatan seorang lelaki yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani atau Mawla Amin seperti didedahkan muka depan Harian Metro baru-baru ini dibawa ke Dewan Rakyat hari ini.

Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) ketika memegang akhbar Harian Metro berkata, pendedahan yang dibuat itu menimbulkan keresahan kerana status sebenar lelaki berkenaan masih diragui sehingga kini.

"Malah, tindakan mempromosi keturunan Rasulullah SAW di seluruh negara itu juga menimbulkan pertanyaan apakah wujud manipulasi menggunakan lelaki berkenaan walaupun pihak berkuasa di Maghribi dikatakan sudah mengeluarkan surat berhubung status Mawla Amin.

"Penganjur iaitu pihak yang bertanggungjawab membawa Mawla Amin ini mendakwa sudah menyerahkan dokumen kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), namun perkara itu dinafikan oleh Jakim baru-baru ini," katanya semasa sesi perbahasan titah diraja.

Mengulas lanjut, Roslan turut membangkitkan persoalan pendirian Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengenai isu ini dan tindakan yang mahu dibuat oleh Wisma Putra.

"Setakat ini apakah pendirian Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung isu ini.

"Apakah Wisma Putra juga sudah menyenaraihitamkan lelaki ini sehingga siasatan statusnya selesai dan apakah ada pengesahan dari Kerajaan Maghribi berhubung isu ini memandangkan Mawla Amin ini kerap berada di negara kita," katanya.

Pada 18 Februari lalu, akhbar ini secara eksklusif memaparkan pendedahan berhubung sebuah madrasah yang mempromosikan individu didakwa warga Maghribi berkenaan.

Pendedahan secara bersiri itu juga mendedahkan bahawa lelaki dikenali Mawla Amin bukanlah keturunan Nabi Muhammad SAW yang ke-38.

Pendedahan eksklusif akhbar ini turut turut menerima reaksi daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bahawa individu terbabit sering keluar masuk Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial, dan berada di negara ini selama 90 hari.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sedang memantau pergerakan Malwa Amin dan pengikutnya termasuk madrasah itu yang beroperasi di Selangor.

Memetik laporan berkenaan, Razarudin dipetik berkata, hasil maklumat yang diterima, mereka juga sudah membeli sebidang tanah yang agak besar iaitu 11 hektar sedangkan pengikutnya bukan dari kalangan orang yang berada namun bergantung dengan kutipan daripada dana awam.

Susulan itu juga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut memaklumkan tidak menerima sebarang dokumen berhubung nasab individu yang dikenali sebagai 'Mawla Amin' seperti didakwa pihak tertentu.

Berita berkaitan:

Polis Kelantan pantau kegiatan Mawla Amin

Waspada penampilan berjubah, berserban menipu ummah

Mawla Amin bukan warga Maghribi

Jakim tidak terima dokumen nasab 'Mawla Amin'

Isu 'Mawla Amin': Polis siasat penyebaran salinan Nota Diplomatik Kerajaan Maghribi

Waspada individu mengaku keturunan Nabi Muhammad, Mawla Amin

Guna gelaran Tok Guru 'pancing' kepercayaan

Jangan terlalu taksub nasab Rasulullah tanpa diselidik terlebih dulu

Kerajaan pantau gerakan mudir madrasah promosi 'Mawla Amin' sejak 4 bulan lalu

Jakim siasat dakwaan lelaki keturunan Nabi, jangan terlalu taksub

RAM nafi ada kaitan dengan Mawla Amin

Halang semua aktiviti Mawla

Mawla Amin sering keluar masuk Malaysia guna pas sosial - Saifuddin

Polis pantau Mawla, pengikut

Eksploitasi nasab suci Nabi

Diseksa tidur dalam tandas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 5:25 PM
ROSLAN menunjukkan akhbar Harian Metro mengenai isu Mawla Amin di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia
ROSLAN menunjukkan akhbar Harian Metro mengenai isu Mawla Amin di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia