Pegawai dan anggota KPDN Kelantan bersama MPKB-BRI menjalankan pemeriksaan di sebuah premis di Jalan Pasir Hor, Padang Enggang selepas menerima aduan berkaitan jualan ayam dengan timbangan mengelirukan. FOTO IHSAN KPDN
Pegawai dan anggota KPDN Kelantan bersama MPKB-BRI menjalankan pemeriksaan di sebuah premis di Jalan Pasir Hor, Padang Enggang selepas menerima aduan berkaitan jualan ayam dengan timbangan mengelirukan. FOTO IHSAN KPDN
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Tipu berat timbangan untuk meraih lebih keuntungan. Itu tindakan culas pemilik premis menjual ayam yang berdepan tindakan mahkamah selepas tujuh kali melakukan kesalahan timbangan mengelirukan.

Terbaru peniaga sama diambil tindakan susulan operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang menjalankan serbuan di premis beroperasi di Padang Enggang, di sini.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pasukannya membuat penyamaran sebagai pembeli sebelum mendapati timbangan awal daripada penjual tidak tepat serta meragukan.

"Peniaga di premis perniagaan ayam itu didapati menggunakan alat timbang sukat elektronik yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Kesalahan sama pernah beberapa kali dilakukan oleh premis sama di lokasi berlainan dan serbuan ini memasuki kali ketujuh," katanya semalam.

Beliau berkata, sejak Januari lalu sehingga kini, sebanyak 36 kes dicatatkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 membabitkan kesalahan timbang sukat tidak ditentusahkan, tamat tempoh, dan tidak cukup timbangan.

Lima kes lagi disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang membabitkan pengguna tidak berpuas hati terhadap barangan, harga pamer lain dan bayar lain dan perkhidmatan.

"KPDN Kelantan menasihati pengguna tampil membuat aduan khususnya membabitkan kenaikan harga barangan keperluan, jualan harga yang mengelirukan atau ketidakpatuhan peniaga mengikut saluran rasmi disediakan kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 1:13 PM