KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas kelindan lori dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membakar 34 motosikal di parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini, dua tahun lalu.

Hakim Norina Zainol Abidin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Saiful Adey Mohd Noor, 36, di akhir kes pendakwaan.

"Selepas mendengar keterangan saksi pendakwaan dan meneliti hujahan pembelaan serta pendakwaan, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri," katanya.

Mohd Saiful Adey yang duduk di kandang tertuduh dengan tangannya bergari dlihat gembira mendengar keputusan itu.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn dan peguam M Soosai Raj mewakili Mohd Saiful Adey.

Perbicaraan kes itu bermula 5 Oktober tahun lalu dengan lima saksi pendakwaan memberikan keterangan.

Pada 30 September 2022, Mohd Saiful Adey mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan cecair mudah terbakar, iaitu petrol, sehingga menyebabkan motosikal terbabit hangus terbakar di parkir Blok G PPR berkenaan, 2.21 pagi, 6 Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 12:02 PM