WAFIY Abd Aziz. FOTO Arkib NSTP.
WAFIY Abd Aziz. FOTO Arkib NSTP.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Education Malaysia Global Services (EMGS) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendapatkan rasuah untuk bekalan 'Kurma For Ramadan Gift', empat tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Wafiy Abd Aziz, 38, di akhir kes pendakwaan.

"Mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu dan wang jaminan (RM12,000) dikembalikan," katanya.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu.

Perbicaraan kes bermula pada Ogos 2021 dengan 24 saksi pendakwaan memberikan keterangan.

Wafiy didakwa menggunakan jawatan itu untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan bayaran baucar EMGS bertarikh 3 Jun 2019 berjumlah RM12,175 kepada Mileeya Enterprise untuk bekalan Kurma For Ramadhan Gift yang mana pemilik syarikat itu adalah saudara tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di EMGS, Jalan Mayang Sari di sini, pada 3 Jun 2019 mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 5:09 PM