MAHARAJA baru Jepun, Naruhito, 59, ketika upacara  Kenji-to-Shokei-no-gi menerima dua daripada simbol dan mohor diraja iaitu pedang Kusanagi dan permata Yasakani no Magatama di Istana Imperial, Tokyo, semalam. FOTO   EPA
MAHARAJA baru Jepun, Naruhito, 59, ketika upacara Kenji-to-Shokei-no-gi menerima dua daripada simbol dan mohor diraja iaitu pedang Kusanagi dan permata Yasakani no Magatama di Istana Imperial, Tokyo, semalam. FOTO EPA
Agensi

TOKYO: Putera Naruhito yang secara rasmi menaiki takhta sebagai Maharaja Jepun, semalam, sehari selepas ayahandanya, Akihito turun takhta selepas menjadi maharaja selama 30 tahun mewarisi simbol dan mohor diraja iaitu pedang, permata dan cermin.

Pedang Kusanagi, permata Yasakani no Magatama diserahkan kepada Naruhito dalam kotak kayu oleh bentara kanan Istana Imperial manakala simbol ketiga, cermin Yata no Kagami kekal di Kuil Besar di Wilayah Mie, kuil utama dalam agama Shinto.

Tiga simbol itu melambangkan keberanian, berpengetahuan luas dan kebaikan yang perlu ditampilkan maharaja kepada rakyatnya.

Tiada sesiapa, selain maharaja dan sami paling kanan Shinto pernah melihat ketiga-tiga objek itu.

Menurut legenda, ketiga-tiga objek itu perlu ada dalam upacara pertabalan maharaja baru sejak tahun 690 yang sebelum itu adalah milik Amaterasu iaitu dewi matahari.

Amaterasu bersembunyi dalam gua bagi menyelamatkan diri daripada abangnya, Susanoo, dewa tuhan ribut yang sangat berkuasa hingga mampu memadamkan cahaya.

Amaterasu hanya keluar dari tempat persembunyiannya selepas dewa lain, Ame-no-Uzume menggantung cemin dan permata di luar gua menyebabkan Amaterasu tertarik dengan bayangnya sendiri.

Susanoo kemudian memberikan adiknya itu pedang Kusanagi yang digunakan untuk membunuh ular berkepala lapan sebagai tanda kesal.

Tiga objek itu dibawa ke bumi oleh Ninigi-no-Mikito, cucu Amaterasu yang diturunkan di Jepun.

Tiga objek itu pernah menjadi milik puak Taira yang sangat berkuasa dan memenangi Perang Genpei pada 1185 namun dikatakan tercampak ke laut ketika puak Taira berperang dengan puak Minamoto di Selat Kanmon.

Cermin dan permata berjaya ditemui semula namun pedang Kusanagi hilang. Satu legenda menyatakan pedang baru dibuat menyerupai pedang berkenaan manakala menurut legenda lain, kuasa ajaib mengembalikan pedang itu ke darat.

Tiga objek itu dikawal ketat sepanjang masa. Pada Julai 1945, beberapa hari sebelum bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki, Maharaja Hirohito mengarahkan ketua bentara istana melindungi simbol terbabit dengan apa cara sekalipun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 8:25 AM