Mohd Roji Kawi


BIASANYA buaya dianggap musuh dan sering berlaku konflik antara reptilia itu dengan manusia.

Namun berbeza dengan seekor buaya yang digelar 'Bujang Cermin' oleh penduduk tempatan di Kampung Jaya Bakti, Kuching.

Bujang Cermin mendapat namanya kerana Kampung Jaya Bakti dahulunya dikenali sebagai Kampung Loba Cermin.

Penduduk, Awang Sharif Awang Marsidi, 48, berkata, kehadiran buaya itu disedari penduduk antara tiga hingga empat tahun lalu.

"Ketika itu, saiznya kecil dengan panjang hanya kira-kira 0.5 meter saja.

"Buaya itu sering muncul di permukaan dan lama kelamaan ia berani naik ke tebing. Nelayan yang melihatnya mencampakkan ikan," katanya.

Sejak itu kata Awang Sharif, buaya itu menunggu nelayan balik dari laut kerana ia akan mendapat makanan percuma.

 NELAYAN memberi makanan kepada buaya yang dikenali sebagai Bujang Cermin di Kampung Jaya Bakti, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
NELAYAN memberi makanan kepada buaya yang dikenali sebagai Bujang Cermin di Kampung Jaya Bakti, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi

"Sejak mula ditemui beberapa tahun lalu, setiap hari buaya itu kelihatan berdekatan jeti nelayan di kampung ini.

"Tidak pernah berlaku konflik dengan 'Bujang Cermin' malah ia kelihatan jinak dan akan timbul jika dipanggil," katanya.

Sementara itu, penduduk, Bolia Bujang pula mengakui kecut perut ketika pertama kali melihat buaya itu.

"Saya menyimpan bot di sini sejak setahun lalu dan ketika pertama kali melihat buaya itu, panjangnya dianggarkan lebih dua meter.

"Memang gerun apabila melihatnya naik ke tebing, tetapi apabila penduduk memberitahu buaya itu jinak, saya kini semakin biasa dengannya malah selalu memberinya makan," katanya sambil memberitahu, buaya itu akan timbul apabila namanya dipanggil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 6:19 PM