Azman Adnan
Azman Adnan
BERNAMA

Putrajaya: Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Azman Adnan dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Azman yang berpengalaman lebih 34 tahun dalam bidang pendidikan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Pengajian Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dan Kepengetuaan daripada Universiti Malaya (UM).

Menurut KPM, Azman berpengalaman memimpin institusi pendidikan di pelbagai peringkat termasuk sebagai Pegawai Pendidikan daerah Segamat, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor dan Pengarah Pendidikan Johor.

Antara jawatan yang disandang pada peringkat KPM ialah Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.

"Semoga pengalaman Azman di pelbagai peringkat dapat memacu pendidikan negara ke arah kecemerlangan," menurut KPM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 3:49 PM