Toh Puan Na'imah Khalid. FOTO Arkib NSTP
Toh Puan Na'imah Khalid. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 13 Mac depan untuk mendengar permohonan isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, bagi menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang menahan pasportnya selepas beliau didakwa gagal mengisytiharkan harta.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu pada prosiding pengurusan kes berkenaan hari ini.

Beliau turut memerintahkan pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis masing-masing pada 4 Mac dan hujahan balas pada 11 Mac.

Kedua-dua pihak akan berhujah secara lisan pada 13 Mac kata hakim itu sambil menambah beliau mungkin membuat keputusan pada hari yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi dan Mohd Fadhly Mohd Zamry mengesahkan bahawa mereka telah menerima dokumen permohonan semakan Na'imah, yang diwakili peguam Rajesh Nagarajan, hari ini.

Berdasarkan dokumen yang difailkan menerusi Tetuan Raj & Sach minggu lepas, Na'imah mendakwa alasan yang kukuh harus diberikan oleh Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan pasport beliau dan adalah tidak wajar ia dibenarkan hanya disebabkan rutin atas permintaan pendakwaan.

"Pada hari saya dituduh, tiada sebab atau asas diberikan oleh Timbalan Pendakwa Raya bagi penahanan pasport dan walaupun peguam saya telah memberikan alasan untuk membantahnya, mahkamah masih memerintahkan supaya pasport saya ditahan sebagai syarat jaminan.

"Perintah tersebut adalah tidak seimbang dan telah menyebabkan suatu ketidakadilan berat atau pelanggaran prinsip keadilan yang serius," katanya.

Na'imah juga mendakwa tiada sebarang bukti bagi membolehkan mahkamah mengenakan syarat pasport kerana tiada alasan bernas atau dokumen yang dirujuk oleh pendakwaan menunjukkan beliau mempunyai kecenderungan untuk melarikan diri.

Oleh itu, Na'imah memohon untuk menyemak semula perintah penahanan pasport oleh Mahkamah Sesyen sebagai antara syarat tambahan dalam kesnya.

Pada 23 Januari lalu, Na'imah, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi membenarkan Na'imah diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Pada 29 Jan lepas, suami beliau yang berusia 85 tahun turut didakwa atas pertuduhan sama membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 5:24 PM