Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Individu dipercayai lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan rumah kedai dua tingkat di Jalan Seri Bahari, di sini, hari ini.

Mangsa ditemukan di atas lantai di dalam bilik air tingkat bawah rumah berkenaan.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Jamil Abdullah berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.11 pagi.

Katanya, tugas memadamkan kebakaran membabitkan kekuatan seramai 40 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan Bagan Jermal.

"Ketika tiba, didapati api marak membakar rumah kedai dua tingkat dan maklumat awal diterima, terdapat seorang individu terperangkap di dalam premis itu.

"Anggota berjaya mengawal kebakaran pada 4.43 pagi," katanya di lokasi, hari ini.

Mengulas lanjut Jamil berkata, mayat mangsa kemudian ditemukan di bilik air yang terletak di bahagian belakang aras bawah rumah berkenaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserah kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi urusan bedah siasat.

"Menerusi maklumat awal daripada orang awam, mangsa dipercayai seorang lelaki OKU, namun nama, usia dan butiran lanjut individu itu belum dapat dipastikan," katanya lagi.

Menurut Jamil, pihaknya dimaklumkan oleh pemilik premis bahawa kedai berkenaan tidak dilengkapi dengan bekalan elektrik.

"Kemungkinan ada sumber lain iaitu penggunaan cahaya persendirian seperti lilin yang dipercayai menjadi punca.

"Premis berkenaan dipercayai digunakan bagi menyimpan barangan lusuh dan kebakaran membabitkan kemusnahan sehingga 70 peratus," katanya.

ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 7:44 AM